Skip to main content

Minggu Saham Digital 2021 tawar hadiah RM500,000 termasuk Hyundai Kona

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn ketika mengumkan rakan strategik Minggu Saham Digital 2021 sempena majlis prapelancarannya yang diadakan secara maya hari ini.
 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Minggu Saham Digital (MSD) 2021 dengan tema #LaburBersama anjuran Permodalan Nasional Bhd. (PNB) membawakan hadiah bernilai lebih RM500,000. 

 

Melalui Peraduan utama, Jom… Kira Duit menawarkan hadiah sebuah kereta Hyundai Kona tajaan Sime Darby Bhd. diikuti sebuah kereta Toyota Yaris tajaan UMW Holdings Bhd., sebuah kereta Perodua Ativa tajaan Perodua, dan juga motosikal Honda Dash 125 tajaan MIDF serta hadiah-hadiah lain.

 

Diadakan mulai 17 hingga 23 November 2021, PNB turut mengumumkan rakan strategik MSD 2021 pada Majlis Pra Pelancaran MSD 2021 hari ini, yang terdiri daripada 3 kategori iaitu Rakan Premier, Rakan Utama dan Rakan.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, MSD tahun lalu yang julung kali diadakan mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 2 juta tontonan.

 

Katanya, fokus PNB adalah mencipta nilai dan menghasilkan pulangan lestari jangka panjang untuk pemegang unit. 

 

"Usaha ini seiring dengan komitmen kami meningkatkan standard literasi kewangan dan memperkasakan rakyat Malaysia membuat keputusan kewangan yang lebih baik demi masa depan mereka.

 

"Selaras objektif Minggu Saham Amanah Malaysia, MSD kekal sebagai platform literasi kewangan bersepadu PNB untuk mencapai matlamat ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ahmad Zulqarnain turut menzahirkan penghargaan PNB atas sokongan berterusan rakan strategik MSD merangkumi penganjuran pelbagai program dan penajaan hadiah menarik bagi peraduan yang akan disediakan. 

 

 

minggu saham digital 2021

 

 

MSD adalah adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang telah dianjurkan secara fizikal selama dua dekad semenjak 2000 hingga 2019. 

 

Acara digital tersebut kini dapat diakses khalayak ramai di mana jua mereka berada dari keselesaan kediaman sendiri dan semudah sentuhan di hujung jari.

 

Mulai esok, 22 Oktober 2021, orang ramai sudah boleh menyertai peraduan utama MSD 2021 iaitu Jom… Kira Duit, yang mana para peserta perlu mencari dan mengumpul #SyilingMSD yang akan dipaparkan di pelbagai platform. 

 

Setiap #SyilingMSD mempunyai nilai tersendiri dan peserta perlu memasukkan nilai yang betul di laman web MSD untuk berpeluang memenangi hadiah utama. 

 

Peraduan ini juga akan merangkumi elemen Ringgit Emas yang mana 5 peserta yang menyerahkan nilai #SyilingMSD yang tepat dan terpantas memenangi motosikal Honda Dash 125. 

 

Di samping itu, 2,400 pendaftar bertuah bakal memenangi e-baucar melalui cabutan bertuah yang akan diadakan setiap hari. 

 

Turut dianjurkan ialah Kuiz harian ‘Live Trivia’, yang mana setiap 19 episod program MSD 2021 ini menawarkan peluang kepada 10 penonton untuk memenangi e-baucar. - DagangNews.com