MISC bersama rakan konsortium raih kontrak sewaan kapal LNG daripada QatarEnergy | DagangNews Skip to main content

MISC bersama rakan konsortium raih kontrak sewaan kapal LNG daripada QatarEnergy

KUALA LUMPUR 10 Ogos - MISC Bhd. bersama rakan konsortium meraih kontrak sewaan jangka panjang daripada QatarEnergy bagi tujuh kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) yang dibina Hyundai Heavy
Industries Co., Ltd.

 

Kontrak itu dianugerahkan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Portovenere and Lerici (Labuan) Pte Ltd (PLL) bersama rakan konsortium terdiri daripada Nippon Yusen Kabushiki Kaisha (NYK), Kawasaki Kisen Kaisha, Ltd. (K-Line) dan China LNG Shipping (Holdings) Limited (CLNG)

 

 

Yee Yang Chien
Yee Yang Chien

 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Datuk Yee Yang Chien berkata, kumpulan berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama multinasional ini yang menggabungkan pengalaman, pengetahuan dan kepakarannya selama berdekad dalam pengangkutan LNG yang selamat, cekap dan boleh dipercayai bagi menyokong aspirasi QatarEnergy.

 

"Kami kekal komited ke arah mempromosikan masa depan yang mampan untuk industri LNG dan percaya  kerjasama strategik ini menjadi kunci utama untuk mencapai dan mengekalkan pertumbuhan dan kejayaan industri dalam jangka panjang di samping memenuhi keperluan berkaitan tenaga bagi semua pelanggan kami di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

QatarEnergy merupakan salah satu pengeluar LNG terbesar dunia. Sebaik saja dihantar pada 2025, tujuh kapal yang baru dibina itu akan memenuhi keperluan QatarEnergy untuk mengangkut LNG ke beberapa negara seluruh dunia.

 

Kapal pengangkut LNG itu akan dilengkapi dengan teknologi cekap alam seperti enjin X-DF 2.1 dengan Sistem Kawalan Pintar Kitaran Semula Ekzos (iCER) dan Sistem Pelinciran Udara, yang akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

 

Sementara itu, MISC kini merupakan salah satu daripada pemilik tunggal terbesar bagi kapal tangki LNG di dunia dengan reputasi dalam kecemerlangan keseluruhan operasi, kebolehpercayaan, keselamatan dan penghantaran kargo tepat pada masanya.

 

Ketika ini, kumpulan Aset dan Penyelesaian Gas (GAS) terdiri daripada 30 kapal pengangkut LNG, enam kapal pengangkut etana besar (VLEC), dua unit penyimpan terapung (FSU) LNG dengan kapasiti tan berat mati (dwt) melebihi dua juta tan. - DagangNews.com