MISC raih kontrak sewa kapal LNG selama 10 tahun dengan SeaRiver Maritime | DagangNews Skip to main content

MISC raih kontrak sewa kapal LNG selama 10 tahun dengan SeaRiver Maritime

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Sept - MISC Bhd. menerusi anak syarikatnya, Polaris LNG Three Pte. Ltd. dan Polaris LNG Four Pte. Ltd. memperoleh kontrak sewaan jangka panjang dengan SeaRiver Maritime LLC (SRM) bagi dua kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) bagi tempoh selama 10 tahun. 

 

Perjanjian tersebut menjadikan kontrak dengan anak syarikat milik penuh ExxonMobil itu kepada empat kapal LNG. 

 

Melalui anak syarikat itu juga, MISC menandatangani perjanjian dengan pembuat kapal terkemuka untuk pembinaan kapal pengangkut LNG di Korea Selatan.

 

Kapal pengangkut LNG dengan 174,000 meter padu (cbm) itu dilengkapi teknologi kecekapan eko seperti enjin X-DF 2.1 dengan Sistem Kawalan Pintar oleh Sistem Kitar Semula Ekzos (iCER) dan Sistem Pelinciran Udara yang akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

 

Eaglestar Shipmanagement Gas (S) Pte. Ltd., penyedia perkhidmatan marin bersepadu global, akan dilantik untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek semasa fasa pembinaan kapal dan  bertanggungjawab ke atas operasi serta pengurusan kapal apabila ia dihantar pada 2026.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MISC, Datuk Yee Yang Chien dalam kenyataan hari ini berkata, rangkaian teknologi kecekapan eko dalam kapal LNG baharu ini mencerminkan komitmen berterusan kumpulan ke arah mempromosikan industri perkapalan yang lebih hijau dan mampan.

 

"Industri perkapalan LNG telah berkembang sejajar dengan keutamaan peralihan tenaga global. 

 

"MISC berbangga untuk memainkan peranan penting untuk menyokong permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga lebih bersih, dengan memastikan pengangkutan marin LNG yang selamat, boleh dipercayai dan cekap kepada pelanggan kami di seluruh dunia," katanya.

 

Pada 2019, MISC memperoleh kontrak sewaan 15 tahun untuk dua kapal LNG daripada SRM. Kapal-kapal tersebut sedang dalam pembinaan di Korea Selatan dan dijadualkan untuk penghantaran pada suku pertama 2023.

 

Kontrak sewaan jangka panjang baharu itu akan mengukuhkan lagi kedudukan utama MISC sebagai salah satu pemain global dalam sektor perkapalan LNG. - DagangNews.com