Misi rahsia tubuhkan firma telekomunikasi baharu di Dubai | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
WAINUIOMATA - 8 April 2021

Misi rahsia untuk tubuhkan firma telekomunikasi baharu di Dubai

 

PADA masa yang sama, saya telah dipanggil oleh Hamid Kazem, bekas CEO Dubai Internet City untuk menganggotai syarikatnya, Dubai Port, Customs and Free Zone. Dia menjadi orang nombor dua selepas Pengerusi, sebagai Ketua Operasi. Syarikat itu adalah yang terbesar di UAE.

 

Waktu itu Dubai Internet City mengalami perubahan. Banyak pertukaran dan orang baru masuk. Saya pernah disuruh melatih graduan tempatan, Arab yang baru bekerja. Ada empat orang dan mereka sudah mendapat latihan sebaiknya.

 

Keempat-empat mereka naik pangkat selepas setahun. Menggantikan tempat saya. Saya bertukar dari pengurus teknoloji maklumat kepada pengurus perancang dan strategi bisnes. Kemudian bertukar lagi.

 

Dr Amina Al Rustamani bertanya lagi saya untuk menyertai syarikat satelit dan akhirnya saya bersetuju. Berpindah lagi dan waktu itu hanya kami berdua ke sana ke mari.

 

MINGGU LEPAS : Dr Amina mempesona, Cat Stevens pula cetus rasa teruja

 

Saya ditugaskan sebagai pengurus kanan pengembangan bisnes. Saya tidak tahu pasal satelit dan Dr Amina memberikan buku-buku mengenai satelit.

 

Ini adalah tugas yang berat lagi mencabar. Saya tidak pernah berurusan dengan komunikasi satelit. Namun saya menerima tugas ini sebaiknya dengan Dr Amina yang cantik sebagai bos.

 

wainuiomata
Dr Amina Al Rustamani

 

Seminggu kemudian saya dihantar ke Singapura untuk pameran komunikasi Satelit. Itulah kali kedua selepas dihantar ke Kuala Lumpur dan sepatutnya ke London untuk Dubai Media City, tetapi saya berhenti untuk ikut balik Hamed Kazim.

 

Saya berlepas ke Singapura selama seminggu dengan menaiki kapal terbang duduk kelas pertama. Saya datang awal untuk balik ke Kuala Lumpur dengan bas.

 

Pada masa itu, saya berniaga kain yang murah di Dubai dan saya membawa balik banyak sekali untuk ibu saya.

 

Di imigresen saya ditahan kerana tidak declare atau mengisytiharkan jumlah kain tersebut. Pegawai itu bercakap perlahan meminta rasuah untuk kumpulannya, saya terkejut. Saya bertukar fikiran mahu membayar penalti dan akhirnya setelah berjumpa ketua pegawai, saya dilepaskan dengan amaran. Saya berterima kasih.

 

Di Singapura saya sempat berjumpa kawan New Zealand yang bekerja di situ, iaitu Mohd Norzi. 

 

Di tahun ketiga saya di Dubai Internet City.

 

Begitu cepat masa berlalu.

 

Yusuf Islam atau Cat Stevens pada mulanya meminta saya membuat perancangan. Merangka bisnes yang dia cuba bangunkan. Saya membuat pada hari yang sama. Saya telah banyak membuat perancangan seumpama. Cuma lain sedikit, dari seorang pendakwah.

 

wainuiomata

 

Ini ada komplikasinya. Saya bekerja mengikut etika. Tetapi pada kali ini, saya bekerja mengikut seorang supestar yang diakui dunia. Mengikut masa dan selera seorang yang sentiasa sibuk. Dia relaks sahaja, sedangkan saya serius.

 

Dia meminta saya untuk bertemunya. Dia berseorangan. Saya cepat bersetuju.

 

Saya mengambilnya dihotel dan membawanya ke restoran Jepun. Saya telah mengambilnya waktu petang, dengan Kia Carnival. Dia berpakaian biasa tetapi berjenama.  Nampak kemas.

 

Saya agak malu untuk bersua kerana persepsi dia yang terkenal. Apalagi hartanya cukup banyak. Antara saya dan dia, seperti langit dan bumi. Tidak terjangkau.

 

Yusuf Islam disenangi ramai. Ternyata dia popular. Ada sahaja orang bersalaman. Restoran itu agak sibuk. Ramai pelanggan orang putih. Mereka mengenali Cat Stevens.

 

Saya duduk minum teh sahaja, sudah makan. Yusuf menempah makanan Jepun, kegemarannya.

 

Kami berbincang secara kasual. Yusuf mengulang penubuhan syarikat. Dia melihat kerja saya. Dia suka apa yang saya bentangkan. Dia berkata saya boleh meneruskan cara saya. Dia akan pergi ke Amerika dan perlu beritahu dia berapa bajet yang perlu.

 

Saya terdiam. Tidak sangka Yusuf berpuas hati. Dia hanya melihat sebentar dan menerimanya. Saya rasa Yusuf seorang yang sibuk dengan kerja-kerja. Mahu melepaskan bisnes kepada orang yang boleh dipercayai. Sayalah orang itu.

 

Saya menyatakan minat pada dia. Dia ketawa. Saya berpuas hati dapat menyatakan itu. Dia bertaraf dunia. Dihormati di mana sahaja. Albumnya terjual puluhan juta.

 

Saya tidak bertanya apa-apa. Hanya Yusuf bercakap. Kami bergurau. Saya mula menyesuaikan diri. Dapat merasakan kesungguhan Yusuf untuk bermesraan.

 

Saya menghantar Yusuf pulang. Dia berangkat pergi. Saya menghubunginya melalui emel. Kami terus berkomunikasi.

 

Saya melakukan suruhan Yusuf. Mencari ofis di Dubai Media City yang baru ditubuhkan. Terus menempah ofis pilihannya. Bertanya tentang visa untuk beliau. Banyak yang perlu saya lakukan. Pejabat perlu dibuat pembinaan, dibeli perabot dan hiasan dalaman.

 

wainuiomata

 

Saya membuat semuanya sendiri. Bertanya kontraktor dan mendapatkan sebut harga. Sambil melagukan, ‘Morning Has Broken’, ‘Moonshadow’, ‘Peace Train’ dan lain-lain.

 

Sementara itu beberapa bulan telah berlalu. Tugas pertama dengan satelit berhasil dengan terbina dua satelit. Saya berhenti kemudiannya walau Dr Amina terkejut dan mahu saya meneruskan kerja kerana syarikat satelit itu akan mempunyai pejabat sendiri.

 

Saya mendapat kerja baru di Dubai Port, Customs and Free Zones sebagai perancang. Ada kerja rahsia. Sebagai tulang belakang Dubai Telecoms atau DuTel. Ketika itu Etisalat hanya satu syarikat telekomunikasi di UAE.

 

Dubai Port, Customs and Free Zones adalah syarikat terbesar dan terunggul di Dubai. Saya rasa bertuah ditugaskan untuk syarikat baru dan berkaitan telekomunikasi. Satu cabang yang baharu.  Saya dikawal oleh ahli pengarah yang terdiri orang-orang tempatan. Muda-muda sebaya dengan saya.

 

Saya dengan bekas bos saya, Dr Osama Al Ali dari Bahrain ditugaskan sebagai tunjang syarikat. Dr Osama Al Ali menjadi kemudi dan bekerja tanpa saya. Dia banyak bertemu orang-orang besar untuk mencari sokongan.

 

Kerja rahsia untuk menubuhkan Dubai Telecom yang bakal menjadi syarikat besar. Buat masa itu, Etisalat masih monopoli. Kami ditugaskan di bangunan baharu di Sheikh Zayed Road. Dengan seorang setiausaha.

 

Kerja saya melibatkan Dubai Free Zones yang 100% melanggan Etisalat. Saya perlu membuat kajian sama ada syarikat-syarikat Free Zones mahu syarikat baru yang moden. Bukan mudah. Saya perlu menemui 4,000 syarikat sekurang-kurangnya. Selain menemui Dubai Port, Free Zones dan Customs yang ada puluhan syarikat.

 

Semua perlukan strategi yang memuaskan hati. Saya diserahkan jawatan dengan perhatian Lembaga Pengarah. Dr Osama Al Ali dengan tugasnya dan menyerahkan bulat-bulat kerja saya yang bergelar Ketua Pegawai Operasi.

 

osama
Dr Osama Al Ali

 

Saya berfikir bagaimana cara untuk menyiap kerja yang diberikan selama dua tahun. Bekerja dengan seorang yang berpengalaman, Dr Osama Al Ali yang pernah menjadi Ketua Eksekutif di Dubai Internet City. Dia adalah bos saya yang pertama. Orangnya cukup baik.

 

Saya mencapai matlamat untuk bekerja secara bebas. Tidak perlu ada seharian di pejabat. Saya boleh memilih sendiri dengan memberitahu setiausaha.

 

Akhirnya Yusuf memilih saya sebagai pengurus besar kepadanya dan syarikatnya, Mountain of Light. Sebenarnya saya mengharapkan setelah bekerja kuat untuk itu. Dia mempercayai saya.

 

Saya dapat dua kerja serentak untuk pertama kali!

 

BERSAMBUNG...

Mohd Fudzail Mohd Nor adalah Karyawan Tamu di UniSZA dan telah aktif menulis di pelbagai medium termasuk sebagai kolumnis portal berita dan memenangi banyak hadiah sastera selama beliau berkelana di luar negara. Kolum Wainuiomata ini adalah bersempena nama bandar universiti beliau di New Zealand. - DagangNews.com

 

 

BACA JUGA WAINUIOMATA : Aktif gerakan reformasi 1999, TV3 buang kerja!!!

dan

Polis SB cam penyokong reformasi di Dubai

Dr Othman Yeop beritahu, Dr Mahathir akan datang melawat Dubai

Gergawi tanya : Are you on the take?

Sheikh al Maktoum bagi tugasan mendadak

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags