MITEC berjaya anjur acara berskala besar semasa PKPP | DagangNews Skip to main content

MITEC berjaya anjur acara berskala besar semasa PKPP

MITEC

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) berjaya menjadi tuan rumah atau pengendali kepada acara perniagaan yang berskala besar semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perdagangan Antarabangsa Malaysia dan Pusat Pameran, Gunther Beissel berkata, acara tersebut berjaya dijalankan dengan tahap dan protokol keselamatan yang sangat teliti. 

"Acara yang dilangsungkan sehari itu menjadi pencetus kepada perhimpunan berskala besar yang dihadiri lebih daripada 4,500 orang termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan, tetamu kehormat termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

"Acara tersebut juga dirakam bagi tujuan untuk mengetengahkan tahap pengurusan MITEC yang seiring dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan.

Acara itu turut menekankan aspek penting lain seperti pendaftaran kesihatan melalui aplikasi MySejahtera, pemakaian pelitup muka di kawasan awam serta penjarakan fizikal.

Bagi penyediaan katering yang selamat, makanan siap berbungkus disediakan kepada setiap peserta di tempat duduk masing-masing untuk tujuan keselamatan.

Tambahnya, acara tersebut juga dikendalikan secara teliti dengan beberapa aspek panduan dan kepatuhan.

Langkah keselamatan dan kesihatan yang dijalankan adalah seperti sistem pengurusan perwakilan dan peringatan keselamatan melalui telefon pintar.

Katanya lagi, kejayaan penganjuran acara berskala besar itu dapat memberi keyakinan kepada masyarakat untuk mengadakan aktiviti seperti mesyuarat dan acara industri dalam keadaan yang selamat dan teratur.

"Kami sangat teruja untuk melihat penganjuran semula acara perniagaan berskala besar dan berharap ia akan berlangsung lebih banyak dalam persekitaran yang selamat dan teratur selari dengan SOP yang digariskan oleh pihak kerajaan," ujarnya. - DagangNews.com