MITI : Perdagangan Malaysia catat peningkatan RM231.44 bilion pada April 2022 | DagangNews Skip to main content

MITI : Perdagangan Malaysia catat peningkatan RM231.44 bilion pada April 2022

KUALA LUMPUR 19 Mei - Prestasi perdagangan Malaysia mengekalkan momentum peningkatan pada April 2022 dengan jumlah perdagangan menokok 21.3% tahun ke tahun kepada RM231.44 bilion.

 

Pencapaian itu merupakan pertumbuhan 2 digit buat bulan ke-15 berturut-turut, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Pada bulan tersebut, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan mencatatkan nilai bulanan tertinggi.

 

Ia menyaksikan eksport meningkat 20.7% kepada RM127.49 bilion, pertumbuhan 2 digit tahun ke tahun selama 9 bulan berturut-turut.

 

Sementara itu, import berkembang 22% kepada RM103.95 bilion dan lebihan dagangan meningkat 15.7% kepada RM23.55 bilion.

 

“Pertumbuhan eksport disokong oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) terutama semikonduktor yang dipacu oleh trend pendigitalan global.

 

“Eksport ke pasaran utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan 2 digit. Setakat ini, eksport ke AS merekodkan nilai bulanan tertinggi,” katanya. 

 

MITI menjelaskan, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 2.1%, 3.1%, 0.9% dan 11.6%.

 

Menurutnya, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan telah merekodkan nilai tertinggi bagi tempoh Januari hingga April 2022.

 

“Perdagangan meningkat 22.9% kepada RM856.21 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

“Eksport naik 21.8% kepada RM472.39 bilion dan import tumbuh 24.3% kepada RM383.82 bilion. Lebihan dagangan berkembang 12.1% kepada RM88.57 bilion,” katanya.

 

Mengenai prestasi eksport sektor utama, kementerian itu berkata, kesemua sektor utama merekodkan pertumbuhan 2 digit eksport pada April 2022.

 

Eksport barangan perkilangan pada April 2022 yang menyerap 84.2% daripada jumlah eksport, naik 17.2% tahun ke tahun kepada RM107.39 bilion.

 

Ia disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, barangan perkilangan logam, kimia dan bahan kimia serta barangan perkilangan berasaskan minyak sawit, di mana setiap barangan ini telah merekodkan peningkatan lebih RM1 bilion.

 

Mengenai jumlah import Malaysia pada April 2022, MITI berkata, ia berkembang 22% tahun ke tahun kepada RM103.95 bilion dengan 3 kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 74% daripada jumlah keseluruhan import.

 

Ini termasuk barangan pengantara bernilai RM59.59 bilion atau 57.3% daripada jumlah import, yang meningkat 28.1%; barangan modal bernilai RM9.1 bilion atau 8.8% daripada jumlah import, menyusut 2.4% dan barangan penggunaan bernilai RM8.28 bilion atau 8% daripada jumlah import, naik 9.7%.

 

Bagi tempoh Januari hingga April 2022, import meningkat 24.3% kepada RM383.82 bilion berbanding tempoh yang sama pada 2021. - DagangNews.com