MITI siasat lambakan import, kenakan duti kepada enam negara | DagangNews Skip to main content

MITI siasat lambakan import, kenakan duti kepada enam negara

miti

KUALA LUMPUR 29 Julai -  Kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara ke atas enam buah negara iaitu Vietnam, Indonesia, Korea Selatan, China, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun sekiranya terbukti melakukan lambakan import.

Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang menyiasat dakwaan margin ketara dalam kuantiti import polyethylene terephthalate dengan kelikatan intrinsik 0.70 desiliter/gram atau lebih dari China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan AS.

Dalam pada itu, Indonesia juga disiasat atas dakwaan pengimportan produk keluli tahan karat gulungan sejuk, manakala Vietnam disiasat atas dakwaan sama serta pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk.

“Import polyethylene terephthalate telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia. 

“Lambakan import produk keluli tahan karat dari Vietnam dan Indonesia didakwa telah meningkat dari segi jumlah kuantiti mutlak dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepada industri tempatan

“Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan kepada industri tempatan,” kata MITI dalam sebuah kenyataan. 

Siasatan itu adalah selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan, 1993 dan peraturan yang berkaitan. 

Sehubungan itu, MITI telah mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan) untuk mendapatkan pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan berkenaan.

Terdahulu,  Malaysia telah menerima satu petisyen daripada pengeluar tempatan, Recron (Malaysia) Sdn. Bhd., bagi memulakan penyiasatan anti lambakan ke atas pengimportan polyethylene terephthalate dari negara-negara yang terlibat.

Pada 29 June 2020 pula, Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. menghantar petisyen yang memohon kajian semula pentadbiran terhadap pengenaan duti anti-lambakan ke atas pengimportan keluli aloi dan bukan aloi gegelung gulungan sejuk (dagangan subjek) yang berasal dari Vietnam.

Petisyen daripada BAHRU Stainless Sdn. Bhd. pula memohon bagi memulakan siasatan anti-lambakan ke atas pengimportan produk keluli tahan karat gulungan sejuk dalam bentuk gegulung, kepingan atau apa-apa bentuk lain (dagangan subjek) diimport dari Indonesia dan Vietnam.

Kesemua petisyen itu mendakwa barangan import yang dilambakkan ke Malaysia dikenakan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik mereka dan terdapat margin lambakan yang berubah dengan ketara.

“Kerajaan telah menilai dan mempertimbangkan bukti-bukti prima facie bagi lambakan dan kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan suatu penyiasatan anti-lambakan ke atas import produk dagangan subjek dari negara-negara tersebut,” tambah MITI. - DagangNews.com