MITI: SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB) | DagangNews Skip to main content

MITI: SOALAN LAZIM (FAQ) BERKAITAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN BERSYARAT (PKPB)

BAHAGIAN 1: SOALAN UMUM MENGENAI OPERASI AKTIVITI EKONOMI OLEH KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI (MITI)

 

1. Bolehkah syarikat saya beroperasi sepanjang tempoh PKPB?
Ya, boleh. Semua aktiviti ekonomi dan industri (perkilangan) boleh beroperasi tanpa kelulusan MITI, tertakluk kepada SOP yang ditetapkan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).


2. Perlukah saya memohon sebarang permit daripada MITI melalui sistem pangkalan data CIMS untuk beroperasi sepanjang PKPB?
Tidak perlu.


3. Bolehkah syarikat saya beroperasi 24 jam?
MKN telah menyenaraikan beberapa aktiviti ekonomi yang mempunyai waktu operasi spesifik - rujuk laman web www.mkn.gov.my untuk senarai aktiviti ini.
Aktiviti ekonomi dan industri selain daripada yang disenaraikan oleh MKN ini (seperti perkilangan, pelabuhan, produk-produk essential dan lain-lain) boleh beroperasi tanpa sebarang sekatan waktu operasi.

 

4. Bolehkah saya menghantar barangan ke lokasi-lokasi di kawasan PKPB menggunakan kenderaan perdagangan?
Kenderaan perdagangan yang membawa barangan dan perkhidmatan dibenarkan
keluar masuk menggunakan pas pekerja atau surat kebenaran majikan.

 

5. Adakah saya dibenarkan untuk rentas negeri untuk tujuan kerja/perniagaan?
Pergerakan pekerja dalam kawasan PKPB adalah dibenarkan dan pekerja perlu membawa pas pekerja atau surat kebenaran majikan. Pekerja yang perlu merentas negeri untuk urusan kerja ke dalam Kawasan PKPB dibenarkan dengan membawa pas pekerja atau surat kebenaran majikan.


6. Bolehkah semua pekerja saya datang bekerja?
Pengurusan kehadiran pekerja adalah di bawah budi bicara syarikat. Walau bagaimanapun, majikan adalah digalakkan supaya membenarkan pekerja bekerja dari rumah semasa tempoh PKPB. Namun, dalam apa jua keadaan, syarikat wajib mematuhi SOP yang ditetapkan. (Sila rujuk Bahagian 2 untuk arahan BDR)

 

7. Apakah SOP syarikat sepanjang PKPB?
Sila ke laman web Majlis Keselamatan Negara www.mkn.gov.my untuk merujuk kepada SOP terkini.


8. Apakah yang boleh saya lakukan sekiranya syarikat tidak mematuhi SOP PKPB?
Anda boleh melaporkan ketidakpatuhan syarikat di balai polis berhampiran.

 


BAHAGIAN 2: ARAHAN BEKERJA DARI RUMAH (BDR)


1. Apakah yang dimaksudkan dengan amalan BDR?
Amalan BDR merujuk kepada pelaksanaan tugasan pejabat di rumah masingmasing mengikut tatacara / garis panduan yang ditetapkan oleh majikan mengikut keperluan syarikat masing-masing.


2. Adakah amalan BDR wajib bagi semua pekerja industri?
Pihak industri wajib melaksanakan amalan BDR bagi kakitangan kumpulan pengurusan dan penyeliaan yang merangkumi antaranya tugasan melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT.

Hanya 10 peratus daripada kumpulan pengurusan dan penyeliaan yang boleh berada di pejabat, dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10.00 pagi sehingga 2.00 petang untuk 3 hari seminggu.

Contohnya, sekiranya terdapat 10 orang atau kurang di dalam kumpulan pengurusan dan penyeliaan, hanya seorang (1) sahaja yang dibenarkan untuk datang ke pejabat pada satu-satu masa.

Syarikat boleh menjalankan sistem pergiliran bagi menetapkan wakil kumpulan pengurusan dan penyeliaan yang perlu hadir ke pejabat ini. Syarikat juga dinasihatkan untuk menyediakan senarai pekerja yang terlibat untuk BDR dan juga dalam operasi syarikat untuk rujukan pihak berkuasa, sekiranya diperlukan Majikan perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan
yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB ini.

Bagi pekerja sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai sektor informal seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai-gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP PKPB yang telah ditetapkan.

Pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan (delivery service) juga boleh bekerja seperti biasa.


3. Apakah yang dimaksudkan dengan kumpulan pengurusan dan penyeliaan?
Kumpulan pengurusan dan penyeliaan tertakluk kepada dasar syarikat.


4. Adakah majikan boleh menukar waktu yang telah ditetapkan untuk kumpulan pengurusan dan penyeliaan yang bekerja di pejabat?
Tidak. Majikan perlu mematuhi peraturan kekerapan dan tempoh bekerja di pejabat iaitu maksimum 3 hari seminggu selama 4 jam setiap hari dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

 

5. Apakah tindakan yang majikan perlu ambil sekiranya pekerja tidak mahu datang bekerja dan mahu BDR?
Majikan boleh mengambil tindakan mengikut budi bicara dan tatacara syarikat berdasarkan dasar Kerajaan dan Akta yang berkaitan. Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila rujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja.


6. Adakah pekerja yang perlu ke pejabat perlu menjalani ujian saringan COVID-19?
Hanya wajib bagi pekerja asing di sektor pembinaan, pengawal keselamatan dan semua pekerja dari zon merah yang bergejala sahaja.

 


BAHAGIAN 3: PENDAFTARAN DI COVID-19 INTELLIGENT MANAGEMENT SYSTEM (CIMS)


1. Bagaimana saya boleh membuat pendaftaran di CIMS?
Anda boleh ke pautan https://notification.miti.gov.my membuat pendaftaran dan ikut arahan dari laman ke laman. Jangan letak ‘www’ di URL pendaftaran ini. 


2. Adakah semua perniagaan perlu berdaftar di CIMS?
Semua jenis perniagaan boleh membuat pendaftaran di CIMS. Walaupun pendaftaran adalah tidak wajib, namun ia amat digalakkan kerana sistem ini adalah sumber rujukan utama pihak PDRM.


3. Saya sudah berdaftar di CIMS versi terdahulu. Perlukah saya berdaftar sekali lagi?
Tidak, pendaftaran di CIMS hanya perlu dilakukan sekali sahaja.


4. Saya tidak boleh mengemas kini maklumat pekerja di CIMS. Apa perlu saya lakukan?
Sekiranya anda tidak boleh mengemas kini maklumat anda di CIMS, mohon e-mel kepada kumpulan teknikal CIMS di cims@marii.my atau info@marii.my. Bagi senarai pekerja, pastikan anda menggunakan templat yang disediakan di dalam sistem.


5. Mengapa surat pengesahan pendaftaran saya mempunyai tarikh yang lain dan adakah surat ini sah?
Sekiranya anda membuat pengemaskinian pada satu-satu tarikh tertentu, tarikh surat yang dicetak pada waktu itu tetap akan mengikut tarikh hari anda membuat pendaftaran kali pertama. Jangan risau, surat ini tetap sah.

Catatan:
1) Adalah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak industri untuk memahami dan mematuhi semua arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga SOP Pencegahan COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk kita sama-sama mengurangkan risiko dan membendung penularan pandemik COVID-19 ini.


2) Sebarang perubahan terkini sejajar dengan arahan terbaru pihak MKN dan KKM akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

 

Kenyataan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri - DagangNews.com