MMHE kembali catat untung bersih RM2.72 juta untuk suku pertama 2022 | DagangNews Skip to main content

MMHE kembali catat untung bersih RM2.72 juta untuk suku pertama 2022

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MMHE) merekodkan untung bersih RM2.72 juta untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berbanding kerugian bersih RM104.35 juta pada suku sama tahun lalu selepas semua bahagian pernigaannya menunjukkan peningkatan pendapatan.

 

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pendapatan suku itu melonjak kepada RM417.78 juta daripada RM343.57 juta.

 

Pendapatan sesaham kumpulan itu adalah 0.2 sen berbanding kerugian 6.5 sen pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, MMHE tidak mengumumkan sebarang pemberian dividen untuk suku tahun pertama tahun ini.

 

Mengulas mengenai prestasi itu, MMHE berkata, peningkatan prestasi kewangan kumpulan itu sebahagiannya disumbangkan oleh pemulihan COVID-19 selain pengembalian peruntukan waranti untuk projek lepas belayar serta pembalikan kerugian rosot nilai ke atas penghutang dagangan telah diperoleh semula pada suku semasa.

 

Kumpulan itu juga berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pemansuhan keperluan kuarantin wajib bagi pengembara yang divaksin sepenuhnya oleh kerajaan dijangka meningkatkan prospek perniagaan marin.

 

Katanya, pemansuhan larangan kemasukan tenaga pakar asing juga akan meningkatkan peluang kumpulan itu untuk mendapatkan lebih banyak projek bertaraf antarabangsa.

 

"Sebagai tambahan, negara-negara lain yang mengalami peningkatan kes COVID-19 dan pengenalan semua perintah larangan pergerakan bersasar akan mencipta peluang lebih banyak untuk kumpulan dengan pelanggan akan mencari limbungan kapal alternantif untuk pembaikan kapal.

 

"Kumpulan itu menjangkakan perniagaan marin akan pulih secara beransur-ansur pada 2022," katanya. - DagangNews.com