Modal pelaburan 4Q20 Maxis dijangka meningkat seperti 4Q19 | DagangNews Skip to main content

Modal pelaburan 4Q20 Maxis dijangka meningkat seperti 4Q19

Maxis

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Modal pelaburan atau capex syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan media, Maxis Berhad (Maxis) bagi suku keempat 2020 dijangka meningkat seperti yang berlaku pada suku sama tahun sebelumnya.

MIDF Research berkata, perkara itu dinilai berdasarkan kepada ketiadaan penurunan perbelanjaan modal sekali gus mengekalkan rangkaiannya sebagai kumpulan yang berdaya saing.

"Pelaburan modal Maxis pada suku ketiga 2020 meningkat 31.8% kepada RM319 juta. Ini menyebabkan modal pelaburan bagi sembilan bulan pertama 2020 bernilai RM741 juta.

"Berdasarkan hal ini, kami menjangkakan modal pelaburan untuk suku keempat 2020 akan meningkat sama seperti suku keempat 2019," jelas MIDF Research.

Modal pelaburan Maxis pada suku keempat 2019 meningkat sebanyak 138.4% kepada RM577 juta berbanding suku sebelumnya.

Dalam aspek pendapatan, Maxis memperoleh pendapatan yang kekal berdaya saing pada suku ketiga 2020 yang berjumlah RM364 juta.

Jumlah itu menurun sebanyak 3.2% kepada RM2,213 juta hasil daripada pendapatan peranti yang rendah, menurun 22.4% berbanding tahun lalu.

Secara positif, MIDF Research berpendapat bahawa pendapatan perkhidmatan masih berdaya tahan pada RM1,940 juta meskipun berlaku pengurangan dalam hasil borong.

Pendapatan untuk sembilan bulan pertama 2020 juga menguncup sebanyak 8.1% kepada RM1,062 juta yang dipengaruhi oleh penurunan segmen borong.

"Kami mengekalkan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM4.45 dengan meningkatkan saranan 'jual' kepada 'neutral'," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com