MOF arah institusi perbankan segera kecualikan bayaran faedah penerima moratorium | DagangNews Skip to main content

MOF arah institusi perbankan segera kecualikan bayaran faedah penerima moratorium

PUTRAJAYA 14 Sept - Kementerian Kewangan telah mengarahkan institusi perbankan untuk mengusahakan pengecualian bayaran faedah bagi penerima moratorium pinjaman bank dengan segera.

 

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini melibatkan penerima moratorium dari kumpulan 50% terbawah daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk sepanjang tempoh 3 bulan pada suku keempat 2021.

 

Beliau berkata, keberkesanan vaksin telah terbukti dalam membolehkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi.

 

Seterusnya melalui Bajet 2022 kata beliau, MOF akan berusaha mempercepatkan pemulihan ekonomi menerusi penggubalan dasar-dasar yang mesra perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan lagi daya tahan negara.

 

''Bajet 2022 juga akan menerapkan beberapa aspek penyusunan semula yang akan menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 dalam memacu pertumbuhan yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tengku Zafrul berkata, kerajaan dan MOF telah berkali-kali mengulangi komitmen bahawa rakyat dan perniagaan yang memerlukan bantuan akan tetap disokong sebaik mungkin, dan untuk itu had siling Kumpulan Wang COVID-19 akan ditingkatkan jika perlu.

 

Sehubungan itu, pada 10 September 2021, Majlis Jemaah Menteri telahpun meluluskan cadangan untuk membentangkan pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) [Akta KWC] bagi:


(1) meningkatkan had siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion; dan 
(2) meningkatkan had statutori hutang Kerajaan Persekutuan daripada 60% kepada 65% KDNK.

 

Pindaan RUU tersebut akan dibentangkan untuk kelulusan Dewan Rakyat pada bulan Oktober ini dan ia bertujuan untuk, antara lainnya, mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19; menambahbaik bantuan tunai langsung kepada rakyat;
dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro. 

 

Beliau berkata, fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19, dan semangat muafakat rentas parti yang telah tercapai diharapkan akan membawa kembali sinar kepada rakyat.

 

''Keutamaan MOF adalah melindungi nyawa daripada ancaman COVID-19, dan memastikan prospek pertumbuhan ekonomi negara kekal kukuh, didorong oleh Pelan Pemulihan Negara dan prinsip pengurusan kewangan yang berhemah. 

 

''Kementerian Kewangan terus komited dalam mengambil langkah strategik, proaktif dan tegas bagi mendepani situasi COVID-19 yang mencabar, serta mengehadkan kesan yang berpanjangan ke atas ekonomi akibat krisis ini,'' kata beliau.

 

Kementerian Kewangan juga menyambut baik persefahaman yang telah dicapai antara Kerajaan dan Pakatan Harapan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

 

 

zafrul
TENGKU ZAFRUL pada majlis MoU antara Kerajaan dengan PH di Putrajaya pada 13 September 2021.

 

 

Tengku Zafrul berkata, ia merupakan detik yang bersejarah bagi negara, di mana persengketaan politik diketepikan demi kesejahteraan rakyat dalam menghadapi pandemik COVID-19. 

 

Yang lebih penting kata beliau, MOF yakin kestabilan politik ini juga akan menyumbang kepada persekitaran yang lebih stabil dan kondusif untuk perkembangan sektor pelaburan, pasaran modal dan ekonomi negara.

 

Katanya, dipadankan dengan faktor-faktor kelonggaran mobiliti bagi rakyat yang telah lengkap divaksinasi, serta pembukaan banyak lagi sektor-sektor ekonomi termasuk pelancongan berkonsepkan gelembung perjalanan (travel bubble), persefahaman ini bakal menzahirkan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia pada Suku Keempat 2021 dan seterusnya bagi tahun 2022.

 

Secara keseluruhannya kata beliau, pelaksanaan pakej rangsangan, pembukaan semula ekonomi dan struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai telah berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 16.1% bagi suku kedua 2021.

 

''MOF yakin bahawa persefahaman politik yang baru dimeterai semalam akan terus mendokong asas pemulihan ekonomi dan unjuran pertumbuhan KDNK 3.0% hingga 4.0% bagi tahun 2021,'' kata Tengku Zafrul.  - DagangNews.com