Skip to main content

MoF kekal telus tadbir urus kewangan sepanjang darurat

 

 

KUALA LUMPUR 8 April - Kementerian Kewangan (MoF) tetap mengekalkan aspek akauntabiliti serta ketelusan tadbir urus kewangan dan keutamaan tunggal sepanjang tempoh darurat dengan menggunakan segala dasar dan perundangan sedia ada demi melindungi nyawa serta mata pencarian rakyat.

 

Malah, dari segi akauntabiliti dan ketelusan, kementerian itu telah bertindak menerbitkan Pekeliling Perbendaharaan Malaysia PB 1.4, Tatacara Anggaran Perbelanjaan Tambahan Bagi Tempoh Darurat.

 

Ia antara lain menggariskan panduan, hal-hal berkaitan tadbir urus perbelanjaan tambahan serta proses yang terlibat berkaitan pengurusan perbelanjaan tambahan sepanjang tempoh darurat tersebut.

 

“Tadbir urus yang digariskan itu akan memastikan bahawa peruntukan tambahan bagi tahun ini adalah perbelanjaan yang sememangnya amat diperlukan.

“Kedudukan kewangan kerajaan turut diambil kira oleh Kementerian Kewangan sebelum sebarang permohonan itu dipertimbangkan,” kata Menteri Kewangan,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz dalam kenyataan pada Rabu seperti dilapor Bernama.

 

Sehubungan itu, beliau mengulangi kenyataannya pada 22 Mac 2021 yang menegaskan bahawa hutang berkanun Kerajaan yang merangkumi penerbitan MGS, MGII dan MITB adalah dihadkan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

“Pinjaman Luar Negara dan Hutang Bil Perbendaharaan pula masing-masing dihadkan sebanyak RM35 bilion dan RM10 bilion,” katanya.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tohmahan pihak tertentu yang mempertikaikan ketelusan dan keikhlasan kerajaan dalam mengutamakan aspek kesejahteraan rakyat, terutama dalam penggunaan semua dasar bagi mencapai matlamat tersebut.

 

“Walaupun Ordinan ini berkuat kuasa, had hutang masih tertakluk kepada akta jenis-jenis hutang. Setakat akhir 2020, tahap hutang berkanun kerajaan adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58 peratus daripada KDNK dan dijangka mencecah 58.5 peratus pada hujung tahun ini,” kata beliau.

 

Tengku Zafrul menjelaskan, bagi pinjaman Luar Negeri dan Hutang Bil Perbendaharaan, tahap hutang kedua-dua instrumen ini masing-masing adalah RM28.3 bilion dan RM6.5 bilion.

 

“Saya juga ingin menjelaskan mengenai proses kelulusan perbelanjaan tambahan Kerajaan Persekutuan oleh Dewan Rakyat. Secara lazimnya, Kementerian Kewangan akan meluluskan permohonan peruntukan tambahan terlebih dahulu melalui Kumpulan Wang Luar Jangka, Simpanan Luar Jangka atau Surat Kuasa Berbelanja sebelum mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat.

 

“Sebagai contoh, perbelanjaan tambahan oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada 2019 hanya dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional pada pertengahan 2020 untuk persetujuan dan kelulusan Parlimen,” katanya.

 

Oleh itu, salah satu tujuan pindaan ordinan ini adalah untuk membolehkan perbelanjaan tambahan bagi 2020 diluluskan dengan segera, mengambil kira perbelanjaan tambahan 2020 ini telah dibelanjakan pada tahun lepas, kata beliau.

 

Menurutnya, pada masa sama, Akaun Awam Kerajaan Persekutuan 2020 juga sedang dalam proses audit untuk dimuktamadkan.

 

“Tambahan pula, ordinan ini hanya menyentuh perbelanjaan tambahan dan tidak sekali-kali menyentuh berkenaan penyediaan belanjawan tahunan.

 

“Ini bermakna, sama seperti Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022 (belanjawan bagi tahun depan) di Parlimen, selaras dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau.

 

Tengku Zafrul berkata, perlu ditekankan bahawa tujuan pengisytiharaan darurat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Januari 2021 adalah untuk memastikan tindakan yang tangkas dan segera untuk menangani penularan wabak COVID-19 bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta pemulihan ekonomi.

 

“Langkah-langkah itu juga adalah bersifat sementara dan bukan kekal. Sebaik sahaja darurat diisytiharkan tamat, segala tindakan yang telah diambil oleh kerajaan sepanjang tempoh ini akan dibentangkan dan disoal jawab pada sesi Parlimen (Dewan Rakyat) dan Dewan Negara kelak," katanya. - DagangNews.com