Skip to main content

Mohamed Azmin pengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC 2020 maya pertama

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Malaysia mencipta sejarah apabila julung kalinya menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri APEC (AMM) secara maya, sebagai tuan rumah bagi persidangan tahun 2020. 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mempengerusikan AMM berkata, penganjuran APEC 2020 ketika penularan COVID-19 merupakan satu pengalaman menakjubkan buat kesemua 21 ekonomi anggota. 

“Kita kekal menunjangi, mengutamakan dan meningkatkan pelbagai inisiatif APEC, di sebalik pelbagai cabaran dihadapi kesan pandemik COVID-19. 

“Ia menjadi satu perjalanan yang agak berliku, namun kita berbangga dengan hakikat yang kita berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama,” kata Mohamed Azmin dalam ucapan pembukaan AMM yang berlangsung bermula 8 malam ini. 

Pada mesyuarat berkenaan, ekonomi anggota APEC 2020 dijangka menambahbaik naratif perdagangan dan pelaburan, ini termasuk keutamaan-keutamaan pemulihan ekonomi pasca pandemik COVID-19. 

Selain itu, menteri-menteri ekonomi APEC juga bakal berbincang mengenai keterangkuman, ekonomi digital dan inovatif kelestarian yang melibatkan kerjasama serantau, pemerkasaan ekonomi wanita, keselamatan makanan dan kelestarian pengurusan sumber asli serta rombakan struktur. 

Bercakap pada pembukaan AMM yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, Mohamed Azmin berkata, aspek paling besar dan signifikan adalah penyempurnaan tugas dan peranan bersama dalam mencipta langkah pasca Wawasan 2020. 

Jelasnya,dokumen berkaitan dirangka atas kejayaan Matlamat Bogor dan akan mencorak strategi serta hala tuju jangka panjang rantau ini bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 dekad. 

“Satu penghormatan besar apabila Malaysia memimpin usaha merealisasi dokumen penting ini yang akan mewujudkan warga Asia Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan dengan berpaksikan mayarakat yang berkongsi kemakmuran. 

“Selain merumuskan visi, kami juga telah memajukan agenda perdagangan dan pelaburan serantau dengan terus beraksikan APEC. 

“Kami melakukannya ketika menguruskan cabaran akibat penularan wabak COVID-19 yang telah menyebabkan gangguan kepada rantaian bekalan dan mengganggu ggugat landskap ekonomi global,” tambah Mohamed Azmin. 

Dalam pada itu, APEC juga bertukar pandangan dan berkongsi maklumat mengenai tindak balas dasar dan langkah intervensi bertujuan membuka semula aktiviti-aktiviti ekonomi.

Ini membolehkan para pekerja bekerja semula dan membenarkan rakyat merentas sempandan dengan memperkenalkan gelembung perjalanan. 

Gelembung perjalanan itu merupakan langkah penting kerana boleh memberi nafas semula kepada masa depan sektor pengembaraan dan pelancongan, kata Mohamed Amin. - DagangNews.com

logo apec