Molnlycke buka kilang baharu di Kulim dengan pelaburan RM233 juta | DagangNews Skip to main content

Molnlycke buka kilang baharu di Kulim dengan pelaburan RM233 juta

Molnlycke menyasarkan untuk mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu di Kedah.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Sept - Syarikat produk dan penyelesaian perubatan terkemuka dunia, Molnlycke dari Sweden membuka kilang baharu bagi sarung tangan pembedahan di Kulim Hi-Tech Park, Kedah melibatkan pelaburan berjumlah 50 juta euro (RM233 juta). 

 

Kemudahan baharu itu menjadi pencapaian utama dan sebahagian daripada pelan hala tuju kemampanan Molnlycke - WeCare, untuk memenuhi permintaan industri pembuatan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat secara mampan bagi menghasilkan sarung tangan pembedahan.

 

Tapak pengeluaran baharu, yang mempunyai keluasan 29,164 meter persegi dan tapak bangunan seluas 14,620 meter persegi, dilengkapi sepenuhnya dengan barisan pengeluaran dan pembungkusan sarung tangan automatik yang canggih.

 

Dengan tambahan kilang baharu ini juga, Molnlycke menyasarkan untuk mewujudkan 400 peluang pekerjaan baharu di negeri tersebut dan berhasrat untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan masa depan untuk sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi.

 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri amat berbangga menjadi tuan rumah kepada kilang serba canggih Molnlycke yang sekali gus membolehkan Kedah diiktiraf sebagai negeri yang mengeluarkan sarung tangan pembedahan berkualiti tinggi yang mampan. 

 

"Ini membolehkan Mölnlycke memperkasakan visinya untuk meningkatkan prestasi profesional penjagaan kesihatan di seluruh dunia," katanya ketika merasmikan pembukaan kilang baharu itu di Kulim hari ini.

 

Turut hadir, Duta Sweden ke Malaysia, Dr. Joachim Bergstrom; Ketua Pegawai Eksekutif Mölnlycke, Zlatko Rihter; Ketua Pegawai Esksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohammad Haris Kader Sultan.

 

 

mida
Pembukaan kilang baharu Molnlycke di Kulim dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini. Turut kelihatan, Duta Sweden ke Malaysia, Dr. Joachim Bergstrom (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Molnlycke, Zlatko Rihter (kanan).

 

 

Kilang pembuatan itu dibina dengan kerjasama penyedia penyelesaian kemampanan global, Engie dan Veolia Water Technologies.

 

Veolia akan membantu dalam meningkatkan pengurusan air sisa loji, mengitar semula air dengan berkesan dan meningkatkan kualiti pelepasan. Dengan sistem digital Veolia, penggunaan air dijangka dikurangkan kepada 50%.

 

Engie pula akan membekalkan kilang itu dengan sumber tenaganya dengan memasang panel solar untuk menjana kuasa pengeluaran dan operasi pembuatan.

 

Dalam jangka masa panjang, Molnlycke akan mengubah komitmennya ke arah sifar pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) bersih menjelang 2050 menjadi kenyataan dengan menjalankan operasinya dengan cara mengurangkan intensif sumber.

 

Secara dasarnya, Malaysia adalah pasaran teras dalam perniagaan sarung tangan pembedahan Molnlycke.

 

Setakat ini, syarikat mempunyai tiga lagi kilang tambahan yang berpangkalan di negara ini, dua daripadanya adalah untuk pembuatan sarung tangan pembedahan dan satu lagi untuk pembungkusan.

 

Dengan perniagaan di lebih 100 negara di seluruh dunia, Mölnlycke memasuki pasaran Malaysia pada 1990 dan kini memiliki lebih 2,500 pekerja di negara ini.

 

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Global Molnlycke Gloves, JC Guillou, pembukaan kilang baharu itu adalah peristiwa penting untuk Molnlycke, kerana ia adalah sebahagian daripada perjalanan transformatif syarikat ke arah menjadi peneraju global dalam penjagaan kesihatan yang mampan.

 

Katanya, Kulim Hi-Tech Park dipilih sebagai lokasi baharunya memandangkan Kedah mempunyai infrastruktur, bakat dan keupayaan yang sesuai untuk memenuhi permintaan industri pembuatan.

 

"Penambahan kemudahan baharu ini membolehkan kami meneroka dan memanfaatkan permintaan industri, bukan sahaja di Kedah atau Malaysia tetapi di rantau ini secara amnya,” katanya. - DagangNews.com