Mondelez International melabur dalam CCOF untuk bangunkan infrastruktur kitar semula plastik | DagangNews Skip to main content

Mondelez International melabur dalam CCOF untuk bangunkan infrastruktur kitar semula plastik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Mondelez International mahu mewujudkan ekonomi kitaran bagi menangani isu sisa platik dengan menjadi rakan kongsi untuk melabur dalam Circulate Capital Ocean Fund (CCOF) dalam membangunkan infrastruktur bagi mengitar semula sisa plastik termasuk plastik berlapis  atau plastik fleksibel yang digunakan dalam industri makanan ringan.

 

Pelaburan tersebut selaras inisiatif kelestarian masa hadapan Mondelez International yang mahu meningkatkan fokus terhadap pengumpulan plastik flesibel yang sukar untuk dikitar semula. 

 

Pelaburan Mondelez International dalam CCOF dijangka dapat membiayai perusahaan-perusahaan yang menyokong matlamat berkenaan selain merangsang pelaburan dalam infrastruktur kitar semula plastik fleksibel.

 

"Pelaburan itu merupakan perkara penting dalam sumbangan kami terhadap ekonomi kitaran bagi mengitar semula sisa plastik dan komitmen ke arah aspirasi sifar sisa untuk jangka panjang," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Mondelez International, Dirk Van de Put dalam satu kenyataan hari ini. 

 

CCOF merupakan dana pelaburan yang dikhususkan untuk penyelesaian isu plastik di India dan Asia Tenggara dan pelaburnya terdiri daripada syarikat barangan pengguna terkemuka dunia malah, ia turut menyedia pembiayaan untuk pengurusan sisa bagi syarikat pemula serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Circulate Capital, Rob Kaplan berkata, pelaburan itu membolehkan pihaknya menyuntik lebih banyak dalan untuk membiayai perusahaan yang mempunyai penyelesaian dalam mengatasi isu sisa plastik.

 

“Selaras dengan tekad kami untuk menjadi syarikat pengeluar snek yang lebih lestari, kerjasama ini akan membantu dalam membiayai perniagaan-perniagaan yang berusaha dalam usaha pengumpulan, pengasingan dan penggunaan semula sisa plastik, termasuk plastik berlapis," katanya.

 

"Modal pemangkin tambahan yang dikeluarkan pihaknya akan membantu CCOF dalam mencapai sasaran ekonomi dan impak alam sekitar menjelang 2030 termasuk pencegahan pencemaran plastik yang mencecah angka 13 juta tan," katanya. - DagangNews.com