Moody's : Pasaran baharu muncul Asia berdepan risiko inflasi, gangguan rantaian bekalan | DagangNews Skip to main content

Moody's : Pasaran baharu muncul Asia berdepan risiko inflasi, gangguan rantaian bekalan

KUALA LUMPUR 13 Sept - Moody’s Investors Service mendapati tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan merupakan risiko terbesar yang bakal dihadapi negara ekonomi baharu muncul di Asia dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

 

Ia berikutan impak kenaikan kadar faedah dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dalam tempoh berkenaan.

 

Naib Presiden Kanan Moody's, Jacintha Poh berkata, ekoran gangguan rantaian bekalan, syarikat multinasional (MNC) mempertimbangkan untuk memindahkan lebih banyak pembuatan dari China.

 

Namun, beliau mengakui bahawa China akan kekal dalam banyak rantaian bekalan kerana kelebihan perbandingannya.

 

"Sebaliknya, ekonomi Asia Tenggara akan semakin mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan apabila lebih banyak MNC mengguna pakai strategi 'China +1',” katanya dalam kenyataan seperti dilapor The Edge hari ini.

 

Pada masa sama, Poh menyifatkan gangguan bekalan disebabkan konflik Rusia-Ukraine telah meningkatkan harga arang batu terma serta minyak dan gas ke paras tertinggi.

 

"Hasilnya, pengeluar komoditi yang dinilai di Asia melaporkan pendapatan dan aliran tunai yang kukuh, yang mereka gunakan untuk mengurangkan hutang, pelaburan atau pulangan pemegang saham," jelasnya.

 

Mengulas lebih lanjut, Moody's berkata, pendapatan yang tidak menentu telah menyokong pengeluar di tengah-tengah risiko kawal selia dan kebimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat.

 

Walaupun harga komoditi telah menurun daripada paras tertinggi, namun ia menjangkakan tambahan bekalan akan kekal terhad manakala permintaan pula kukuh ketika tempoh musim sejuk.

 

Katanya, dalam tempoh jangka panjang, prospek pertumbuhan global yang perlahan akan mengurangkan permintaan bagi kebanyakan komoditi.

 

Sementara itu, jelasnya, keadaan kredit yang lebih ketat akan mengurangkan aktiviti pembiayaan dan kepelbagaian dalam pembiayaan infrastruktur pasaran sedang pesat membangun Asia dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

 

"Pasaran yang sedang pesat membangun ini akan menanggung kesan yang teruk berbanding rantau lain.

 

"Akibatnya, bank pembangunan pelbagai hala dan kerajaan akan memainkan peranan yang semakin penting dalam merapatkan jurang pembiayaan bagi projek infrastruktur di pasaran baharu muncul di Asia untuk mengimbangi kesulitan kredit dan meningkatkan sentimen pelabur," jelasnya. - DagangNews.com