Moratoriam tanpa faedah adalah satu keperluan, bukan pilihan | DagangNews Skip to main content

Moratoriam tanpa faedah adalah satu keperluan, bukan pilihan


 

KUALA LUMPUR 15 Sept - Parti Pejuang amat kecewa dengan kenyataan Menteri Kewangan Senator Dato Seri Utama Tengku Zafrul Aziz yang memaklumkan jemaah kabinet telah bersetuju untuk mengecualikan pembayaran faedah ke atas penerima moratorium untuk 3 bulan sahaja dalam suku ke empat tahun ini sebagai `menepati perjanjian persefahaman kerajaan bersama Pakatan Harapan'.

 

Ahli Majlis Eksekutif Pusat yang juga Ketua Biro Ekonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, ini bermakna Kerajaan memang tidak ada niat untuk membantu rakyat dan perniagaan tetapi lebih mengutamakan hubungan politik dan mempertaruhkan masa depan rakyat dan kelangsungan perniagaan untuk memperkukuhkan pengaruh politik.

 

''Moratorium pinjaman bukanlah satu kemudahan atau kemewahan yang patut dibahaskan dan dipertikaikan. Moratorium merupakan satu penyelesaian untuk membantu rakyat dan perniagaan yang sekarang tengah tenat dan berdepan dengan kebankrapan.

 

''Faedah perlu dikecualikan kepada semua penerima moratorium dan tidak patut dihadkan kepada 3 bulan sahaja. Moratorium dan pengecualian faedah tidak akan menjurus kepada kebankrapan institusi Bank tetapi ia adalah talian hayat terakhir rakyat dan perniagaan sebelum mereka tergolong dalam ‘non performing loan’ atau NPL dan kemudiannya dibangkrapkan,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Apa yang ketara semua bank untung, kata beliau. Untuk suku pertama 2021, Maybank catat kenaikan untung 16.7%, RHB catat kenaikan untung bersih 13.9%, AMBank catat untung bersih 5.9%, Hong Leong Bank catat kenaikan untung bersih 14% dan Public Bank catat kenaikan untung bersih sebanyak 15.1%.

 

''Malah tiada bank yang catat kerugian pada tahun 2020 semasa moratorium pertama dilaksanakan,'' ujar Armin lagi.

 

Sejak Mac 2020 apabila negara dilanda krisis pandemik Covid-19, berbagai memorandum dan cadangan telah dikemukakan oleh berbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gabungan dewan-dewan perniagaan dan parti-parti politik termasuk cadangan menggunakan ordinan darurat untuk menawarkan moratorium tanpa faedah tetapi kerajaan tidak mempertimbangkan cadangan tersebut dengan alasan mereka tiada kuasa.

 

Padahal hari ini kara beliau, terbukti kerajaan mempunyai kuasa untuk mengarahkan institusi bank untuk bukan sahaja menawarkan moratorium tetapi juga dengan melaksanakan moratorium tanpa faedah.

 

''Jemaah menteri juga telah meluluskan cadangan untuk membentangkan perubahan  kepada Akta Langkah Sementara Bagi Kewangan Kerajaan (COVID-19) 2020 untuk menaikkan had siling dana COVID-19 dan menaikkan had berkanun hutang kerajaan persekutuan dan salah satu dari sasarannya ialah untuk menyokong kelangsungan  perniagaanm'' ujarnya.

 

 

Armin Baniaz Pahamin
Armin Baniaz Pahamin

 

 

Kelangsungan perniagaan boleh dibaikpulih dengan moratorium pinjaman tanpa faedah dan moratorium ini perlu diberi secara menyeluruh termasuk pajakan (leasing), fasiliti-fasiliti bank, pinjaman dari peminjam wang berlesen dan pinjaman dari syarikat kredit dan lain-lainnya untuk individu dan juga perniagaan.

 

''Moratorium yang dicadangkan itu tidak menjejas kewangan dan jumlah hutang kerajaan tetapi memberi impak yang amat besar kepada rakyat dan terhadap ekosistem  perniagaan.

 


''Kami berharap Kerajaan dapat memahami masalah rakyat, perniagaan dan dapat menawarkan moratorium tanpa faedah kepada semua penerima moratorium untuk  sepanjang tempoh moratorium dan bukan hanya 3 bulan,'' kata beliau. - DagangNews.com