Skip to main content

MOSTI lancar program Pre-Accelerator MYStartup perkasa start-up di Malaysia

Rafiza Ghazali ketika menyampaikan ucapan ketika program permulaan Pre-Accelerator MYStartup.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Mei - Meneruskan momentumnya dalam menyokong dan mempertingkatkan start-up di Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) baru-baru ini melancarkan program Pre-Accelerator MYStartup. 

 

Program itu bertujuan untuk memberi inspirasi kepada start-up peringkat awal sambil menawarkan peluang kepada bimbingan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dalam melaksanakan strategi perniagaan, akses kepada pasaran dan pembiayaan. 

 

Program tersebut juga akan membolehkan pengasas start-up membuka nilai kendiri dan potensi mereka.

 

Bermula dari 12 Mei 2022, program selama enam bulan itu menyaksikan hampir 40 start-up berkualiti tinggi dipilih untuk menyertai program tersebut, yang mana mereka menjalani proses pemilihan empat peringkat yang ketat sebelum memperoleh akses kepada faedah lain seperti peluang berinteraksi dengan pemain industri utama, pelabur berpotensi dan pakar perniagaan lain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle), Rafiza Ghazali berkata, selaku agensi pelaksananya, program MYStartup Pre-Accelerator adalah sebahagian daripada strategi MYStartup dimulakan MOSTI, yang mana ia bertujuan untuk mewujudkan start-up Malaysia berjaya di peringkat global.

 

Beliau berkata, Cradle berbangga kerana dapat menyatukan dan menghubungkan para start-up dan pelabur yang inovatif itu dalam merealisasikan visi MOSTI.

 

“Seperti yang sering kita lihat di dalam ekosistem, start-up peringkat awal akan mendapat lebih banyak manfaat daripada tunjuk ajar dan bimbingan yang betul dalam mendapatkan pelaburan dan dalam perjalanan mereka mengembangkan perniagaan mereka. 

 

 

cradle
(Dari kiri) Penasihat BEYOND4 Malaysia, Datuk Mohamad Nizar Najib, S.T Rubaneswaran dan Rafiza Ghazali.

 

 

"Tambahan lagi, Cradle berharap melalui inisiatif seperti program MYStartup Pre-Accelerator, kami akan dapat meningkatkan dan memperkasakan mereka dengan kepintaran perniagaan dan kepakaran kewangan sambil menghubungkan mereka dengan rangkaian dan sumber yang sangat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BEYOND4,  S.T Rubaneswaran pula berkata, ekosistem BEYOND4 pada terasnya menumpukan dalam memacut pelbagai Talent DNA melalui Ekosistem Pemecut Pelbagai Peringkat Pintar (Intelligent Multi-Tier Accelerator Ecosystem).

 

"Di penghujung saluran kami terletak Startup Accelerator yang bertujuan untuk memacukan ekosistem start-up serantau melalui perkongsian strategik. Kami berharap para start-up 40 Teratas ini akan memanfaatkan sepenuhnya daripada sumber kami yang tersedia serta Mentor Pool untuk berkembang dan terus mara ke hadapan," katanya.

 

Para start-up yang mengambil bahagian berpeluang mendapat manfaat daripada keseluruhan program bertemakan bimbingan tersebut yang terdiri daripada sesi masterclass, sesi bimbingan bersama mentor, semakan pertengahan penggal dan akses kepada kursus pembelajaran atas permintaan yang tersedia kepada para peserta.

 

Sesi masterclass akan menyaksikan para start-up memperoleh dan mempertingkatkan kecekapan masing-masing melalui bengkel maya dan amali, sesi 'ask-me-anything' dengan pakar pembangunan produk dan sesi rangkaian. - DagangNews.com