MoU dengan PH: Jangan sekadar menanam tebu di tepi bibir - penganalisis | DagangNews Skip to main content

MoU dengan PH: Jangan sekadar menanam tebu di tepi bibir - penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Kerjasama yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) janganlah sekadar menanam tebu di tepi bibir sebaliknya perlu berusaha menjadikannya satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh berkata, sekarang merupakan masa yang terbaik untuk mendesak pelaksanaan pembaharuan institusi yang bermakna dan berharap komitmen ini akan dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan tanpa berlengah-lengah. 

 

"Ini juga akan memberikan isyarat jelas bahawa matlamat dan hasil politik boleh dicapai menerusi persaingan dasar dan rundingan yang sihat, sebagaimana yang kami amat galakkan.

 

"IDEAS juga berharap MoU ini akan menjadi satu permulaan kepada hubungan dwipartisan yang lebih sihat dalam politik Malaysia ke arah demokrasi berparlimen berorientasikan dasar yang lebih matang," katanya dalam kenyataan.

 

Tegasnya, rakyat Malaysia perlu dibenarkan untuk memilih kerajaan, tetapi sehingga keadaan menjadi selamat dan sesuai untuk diadakan pilihan raya, pihak kerajaan dan pembangkang perlu bersedia mengenepikan perbezaan dan menumpukan kepada agenda pemulihan Malaysia.

 

Pada Isnin, kedua-dua pihak melakar sejarah apabila julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

 

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi 6 perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, MoU itu membentuk kerjasama 'dwi-partisan' yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin AlMustafa Billah Shah.'

 

Kemelut politik negara memuncak pada Ogos lalu sehingga menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya dan Ismail Sabri kemudiannya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9. 

 

 

PM

 

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak mungkin diadakan lebih awal sebelum 31 Julai 2022 susulan kerjasama ini.

 

"Kerjasama ini dilihat sebagai satu perkembangan positif kerana ia membawa kepada kestabilan politik di negara ini.  

 

"Dan jika dilaksanakan, ia membolehkan berlakunya reformasi Parlimen dan institusi yang mana dilihat positif kepada negara dalam tempoh sederhana hingga jangka panjang," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurutnya, kerjasama ini sebahagiannya tidak memihak kepada sektor perbankan berikutan arahan Kementerian Kewangan untuk memberi pengecualian faedah moratorium kepada kumpulan 50% ke bawah. 

 

"Bagaimanapun, kami melihat perkembangan ini adalah neutral kerana pelabur lebih cenderung untuk melihat pemulihan ekonomi terutama apabila langkah-langkah sekatan dilonggarkan beberapa minggu akan datang," tambahnya. - DagangNews.com