MOU Kerajaan dan PH: Masa untuk ahli politik tua serahkan kepada orang muda | DagangNews Skip to main content

MOU Kerajaan dan PH: Masa untuk ahli politik tua serahkan kepada orang muda

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

PILIHAN RAYA UMUM ke-15 (PRU15) tidak lama lagi mungkin tidak sampai setahun. MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH telah dimeterai. Selepas setahun jika isu angka wabak COVID-19 dapat diturunkan pada kadar munasabah, maka PRU15 boleh diadakan segera.

 

Ada pihak melihatnya lebih sebagai usaha merintis kerjasama antara kerajaan dan PH kerana tidak melibatkan kesemua parti politik tanah air.

 

Agak mustahil untuk pihak kerajaan membuka ruang dan menghulurkan salam perdamaian politik kerana berlainan ideologi.

 

PH bersifat lebih terbuka dan sanggup membantu kerajaan merealisasikan pelbagai usaha melawan pandemik dan memulihkan ekonomi negara yang kegawatan di samping masalah-masalah lain. 

 

MoU itu bukan bererti PH menyertai kerajaan dan kabinet. MoU itu tidak  mengikat PH daripada mengkritik untuk keadilan rakyat.  Selain melaksanakan mekanisme semak dan imbang terhadap pentadbiran Ismail Sabri dan kabinet.

 

MoU adalah hasil desakan rakyat yang mahu ahli politik berhenti bercakaran dan bergaduhan terutama di Parlimen. Negara beralih tiga perdana menteri dalam tempoh tiga tahun yang tidak pernah sebelum ini.

 

MoU itu bolehlah dianggap sebagai kemenangan rakyat yang menghadapi waktu kesukaran dengan pengangguran, di buang kerja dan bunuh diri yang semakin ramai.

 

Kerajaan dan PH diharapkan mengamalkan demokrasi musyawarah dan kerjasama dan masih terlalu untuk menilai sejauh mana.

 

 

PM
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendengar sesuatu daripada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim sambil diperhati Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis memeterai MoU antara kerajaan dengan PH pada 13 September 2021. - Gambar PMO

 

 

Ahli-ahli politik sering berubah pendirian dan pendapat bertukar-tukar. Kita hanya kepada rakyatlah kalau tidak disogok untuk mengadili MoU itu dalam PRU nanti. Itulah harapan kerana rakyat juga menerima wang suap dari ahli politik yang bertanding.

 

Pada masa yang sama semua pemimpin BN dan PH perlu mengundurkan diri untuk PRU15. Kesemuanya harus berehat dan bersedia untuk penghabisan usia dan jangan mati sewaktu bertugas sebagai ahli politik.

 

Berikanlah peluang untuk orang muda memimpin negara yang dikasihi. Pemimpin yang ada sejak 1990an ucapkan selamat bersara.

 

PKR harus memikirkan siapa selepas Anwar, DAP siapa selepas Kit Siang dan Guan Eng dan Amanah selepas Mat Sabu. Bersatu apa lagi dengan Muhyiddin dan orang lama yang tidak relevan lagi.

 

Jangan lupa parti Pas masih dengan orang lama dan cari pemimpin baharu yang boleh diterima bukan hanya orang Melayu. Boleh dibandingkan dengan yang sedia ada sudah out-of-date dengan zaman era persaingan lagi hebat. Begitu juga Pejuang dengan Tun Mahathir yang sudah berakhir. Juga Warisan di Sabah dan PBB di Sarawak.

 

Itu pun kalau pemimpin-pemimpin tua memikirkan negara untuk bangkit semula.

 

Mungkin UMNO berlaku perubahan besar dalam kepimpinan di mana Zahid akan hilang bersama kes mahkamah. Rasanya Ismail Sabri akan bawa Umno ke jalan baharu tetapi kita mengharapkan orang-orang muda untuk mengganti. Bukan yang rasuahlah dan harap Umno menyuci dengan pemimpin yang bersih.

 

Pentadbiran Ismail Sabri mempunyai peluang untuk berubah walaupun masih ada pemimpin usang. Pemimpin baru tidak nampak prestasi dan jauh dari jangkaan dan harapan ramai. Boleh dikatakan kabinet Ismail Sabri kurang bersemangat dan kurang bakat. Mungkin Ismail Sabri tidak punya pilihan.

 

Saya tidak pasti dengan Ismail Sabri sebab kenaikannya ke Perdana Menteri agak mendadak. Mungkin saya boleh menulis mengenainya dari sudut sekolah kami yang sama. Bagaimana Ismail Sabri waktu di Sekolah Menengah Teknik Kuantan.

 

Kalau BN menang lagi pada PRU nanti kita lihat perjalanan selanjutnya.

 

Kita perlukan transformasi politik negara yang lebih dinamik dan progresif. Boleh dikatakan ahli politik dari generasi lama yang berkurun sejak 90-an dulu masih di depan. Sampai bila?

 

 

Jacinda Adern

 

 

Di negara-negara Barat terutama New Zealand dengan pemimpin muda dan berkemampuan. Di New Zealand, Jacinda Adern adalah junior saya di Universiti Waikato dan mungkin kami bertemu apabila saya pergi ke sana.

 

Jacinda merupakan ketua Parti Buruh sejak 1 Ogos 2017. Beliau pertama kali dipilih menjadi ahli Parlimen pada pilihan raya umum 2008 pada 8 Mac 2017 bagi kawasan Mount Albert.

 

Keprihatinan dan sikap Jacinda  terhadap mangsa-mangsa dan tragedi tembakan masjid di Christchurch telah mendapat pujian daripada netizen di seluruh dunia.

 

Jacinda menunjukkan kepada dunia mengenai kepimpinan sebenar melalui kasih sayang, simpati dan integriti.

 

Lahir pada 26 Julai 1980,  Ardern yang berusia 41 tahun adalah antara pemimpin termuda di dunia, selain menjadi yang pemimpin kedua termuda dalam sejarah New Zealand

 

Parti Buruh mengundi sebulat suara untuk Jacinda mengambil alih tempat Andrew Little, walaupun pada hakikatnya beliau percaya bahawa beliau orang yang terakhir akan ditugaskan menggalas tanggungjawab tersebut.

 

Apa yang menyatukan keyakinan anggota Parti Buruh terhadap Jacinda adalah karisma dan kelayakan politik yang kuat.  Jacinda telah menjadi anggota Parti Buruh sejak berusia 17 tahun.

 

 

Helen Clark
Helen Clark

 

 

Jacinda juga mula bekerja dalam politik sebagai seorang penyelidik untuk Perdana Menteri Helen Clark – yang pernah berkhidmat sebagai penasihat dasar untuk Tony Blair di United Kingdom. Kemudian menjadi anggota Ahli Parlimen iaitu seorang yang mendapat tempat duduk di Parlimen dengan dipilih dari senarai parti, bukannya kawasan geografi pada tahun 2008.

 

Jacinda melahirkan anak pertamanya pada 21 Jun 2018 dan menjadi pemimpin negara kedua yang dilantik yang melahirkan anak ketika sedang bertugas.

 

Sewaktu mengangkat sumpah, Jacinda memberitahu kerajaan barunya tentang objektif dan tanggungjawab utama mereka kepada orang awam iaitu menjadi aktif, beri perhatian, empati, dan kuat.

 

Menjadi fokus utama Jacinda adalah akses kepada perumahan, pengurangan kemiskinan kanak-kanak, menangani perubahan iklim dan meningkatkan gaji minimum.

 

Kempen pilihan raya memberikan penekanan yang kuat terhadap isu-isu belia, daripada akses pendidikan tinggi kepada halangan mendapatkan pekerjaan oleh golongan muda.

 

New Zealand telah mula menyampaikan janji-janji untuk mengutamakan demografi yang lebih muda.  Jacinda mengumumkan bahawa pelajar domestik dikecualikan bayaran yuran untuk tahun pertama.

 

Jacinda seterusnya melaksanakan untuk meningkatkan elaun pelajar. Selain memberikan semula kelayakan untuk sokongan kewangan bagi pelajar pascasiswazah.

 

Di New Zealand, isu kesihatan mental adalah isu utama  dengan peningkatan kadar bunuh diri dan kekurangan sumber yang mencukupi menjadi antara kebimbangan penting.

 

Kerajaan Jacinda  berjanji untuk melakukan kajian penuh terhadap sistem kesihatan mental dan secara terbuka bercakap tentang masalah kebimbangan yang dihadapinya.

 

Itulah Jacinda yang menampakkan kebolehan sebagai pemimpin besar untuk golongan muda. Kita masih mengharapkan orang tua.

 

Di dunia, ramai pemimpin baharu yang diberi peluang menjadi teraju untuk memerintah. Kita berharap parti-parti politik mesti buat perubahan segera yang lebih berani.

 

Ramai orang muda dan penyokong mahukan pemimpin yang boleh wakili generasi muda. Apalagi Undi 18 dilaksanakan pada tahun depan. Boleh dikatakan orang muda ingin kakak dan abang di teraju pemerintahan. Bukan lagi bapak, emak dan tok-tok yang patut berundur.

 

Transformasi untuk semua parti dengan impak yang sebenar untuk generasi baharu lebih ke depan. Buat saya yang sudah mahu pencen, berikanlah pada orang muda untuk memimpin dan bertindak.

 

Waktu untuk hal-hal lain selain politik!  - DagangNews.com

 

 

DISCLAIMER : Pandangan penulis di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com