MoU kerajaan-PH sukarkan `kluster mahkamah' untuk sabotaj lagi, kata penganalisis | DagangNews Skip to main content

MoU kerajaan-PH sukarkan `kluster mahkamah' untuk sabotaj lagi, kata penganalisis


KUALA LUMPUR 15 Sept – Kumpulan yang dilabel sebagai `kluster mahkamah' tidak akan boleh sesuka hati lagi mensabotaj kerajaan sedia ada berikutan MoU dengan Pakatan Harapan yang dimeterai Isnin lalu, kata penganalisis.

 

Memorandum persefahaman (MoU) bersejarah yang ditandatangani julung kalinya antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) pada Isnin lalu, dijangka meneutralkan “kluster mahkamah” dalam Umno, sekaligus menafikan sebarang usaha untuk mengganggu kestabilan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kata pemerhati politik.

 

Penganalisis politik dari UUM, Profesor Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, menerusi MoU itu, pembangkang akan memberikan komitmen dan secara tidak langsung sokongan yang kukuh kepada kerajaan hari ini meskipun tanpa sokongan kluster mahkamah.

 

“Dahulu, kluster mahkamah yang menggagalkan usaha kerajaan (membawa transformasi), pada masa yang sama pembangkang tidak menyokong kerajaan kerana tiada insentif untuk berbuat demikian,” kata dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa itu kepada MalaysiaNow.

 

“Dengan adanya MoU ini, usaha daripada kluster mahkamah untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan tidak akan berkesan.”

 

Ahli-ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) menandatangani MoU pada Isnin lepas yang disifatkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai “demokrasi bermusyawarah”.

 

 

Ahmad Marthada Mohamed
Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed

 

 

Memorandum ditandatangani oleh Ismail dan pemimpin utama PH, iaitu Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng serta Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

 

Kluster mahkamah merujuk kepada sekumpulan ahli Parlimen Umno yang diketuai bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berhadapan dengan pelbagai pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

 

Mereka bertanggungjawab menjatuhkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada Ogos lalu dengan menarik balik sokongan kepada ahli Parlimen Pagoh itu, sekali gus menyebabkannya kehilangan majoriti ahli Dewan Rakyat.

 

Walaupun Muhyiddin membuat beberapa penawaran pembaharuan terhadap institusi negara yang kini diguna semula dalam MoU pada Isnin, PH mengambil keputusan untuk menolaknya kerana dianggap satu tawaran rasuah secara terbuka’.

 

Antara intipati utama MoU antara kerajaan dan PH termasuklah pemerkasaan pelan COVID-19, transformasi pentadbiran kerajaan, pembaharuan parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

 

 

PM

 

 

Menurut Ahmad Marthada, meskipun idea-idea yang dibawa Muhyiddin itu bersifat “forward-looking”, ia menemui kegagalan disebabkan golongan kleptokrat yang mensabotaj pentadbiran perdana menteri kelapan itu.

 

“Ada situasi menang-menang dengan tawaran kerjasama ini. Dari segi keabsahan kerajaan juga penting. MoU ini menunjukkan kerajaan hari ini turut disokong oleh pembangkang secara tidak langsung.

 

“Saya fikir pembentangan Belanjawan 2022 akan lulus, undi percaya juga tidak akan berlaku,” katanya.

 

Namun katanya, kejayaan MoU ini bergantung kepada kedua-dua pihak yang menandatangani persefahaman. – DagangNews.com