MPay turut mohon lesen bank digital BNM | DagangNews Skip to main content

MPay turut mohon lesen bank digital BNM

 

 

KUALA LUMPUR 1 Julai - Managepay Systems Bhd. (MPay) muncul antara syarikat terbaharu di negara ini mengemukakan permohon lesen bank digital dari Bank Negara Malaysia (BNM) yang berakhir semalam.

 

Bagaimanapun, MPay memaklumkan telah mengemukakan permohonannya pada Rabu menerusi anak syarikat milik penuhnya, ManagePay Services Sdn. Bhd. (MPSB).

 

MPay berkata, permohonan MPSB dibuat bersama 3 rakan kerjasama strategik yang merupakan entiti milik bumiputera.

 

"Mereka turut menyatakan minat untuk melabur sehingga 45% dalam ekuiti MPSB jika permohonan ini berjaya, tertakluk kepada kelulusan badan pengawal selia," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Mentor usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman kini antara pemegang saham utama MPay selepas memperolehi 5.762 peratus kepentingan.

 

Pada 18 Jun lalu, MPay berkata, Azizan kini mempunyai pegangan langsung berjumlah 44 juta unit saham dalam syarikat itu.

 

Mpay pula adalah penyedia pembayaran elektronik 'end-to-end' bagi bank dan institusi kewangan, peruncit serta pemegang kad yang beroperasi di negara ini.

 

Syarikat ini berada dalam Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran melebihi RM120 juta.

 

Pada Julai 2020, MPay memberitahu anak syarikatnya, ManagePay Services mengadakan usaha sama dengan syarikat khusus untuk menubuhkan sebuah syarikat yang akan menjadi bank digital dengan kelulusan BNM. - DagangNews.com