MPC seru pengawal selia bantu pelaksanaan Bajet 2021 | DagangNews Skip to main content

MPC seru pengawal selia bantu pelaksanaan Bajet 2021

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pelaksanaan Belanjawan 2021 ketika pandemik COVID-19 memberi cabaran buat negara terutamanya di tengah-tengah ketidaktentuan dalam perniagaan.

Sehubungan itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menyeru pihak kawal selia untuk membantu perniagaan dengan aspek kawal selia yang berkesan, sebahagian daripada norma baharu. 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman (gambar atas) melihat kawal selia yang berkesan diperlukan untuk memacu pelaburan dan pengukuhan sektor strategik.

Ini terutamanya melibatkan peranti perubatan, e-perdagangan, logistik dan teknologi pendidikan selain menambah baik akses kepada pembiayaan. 

Jelas beliau, agenda amalan baik peraturan (GRP) Malaysia kekal relevan untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi, menambah baik produktiviti dan persaingan negara. 

“Kita perlu memastikan ekonomi negara terus bertumbuh dengan mewujudkan pekerjaan dan kesinambungan perniagaan ketika tempoh yang tidak menentu ini.

“Usaha GRP untuk menambah baik kualiti kawal selia baharu menerusi analisis impak kawal selia dan kajian semula peraturan sedia ada akan mengurangkan kos kawal selia untuk mewujudkan perniagaan, membantu menambahbaik keadaan perniagaan dan menyokong perdagangan serta pelaburan,” kata Abdul Latif menurut laporan Bernama. 

Selain itu, MPC turut menggesa kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan untuk komited dalam melaksanakan amalan baik peraturan serta melihat semula proses penyampaian peraturan sedia ada. 

Jelas beliau, struktur semula, mempermudah dan menurunkan kos pematuhan sekiranya perlu.

Ini perlu dilakukan tanpa menjejaskan keselamatan, kesihatan, persekitaran dan barangan awam untuk melancarkan dan mempercepat proses penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam mencapai matlamat Belanjawan 2021. - DagangNews.com