MPOB, Briar Resources bekerjasama dalam pemindahan teknologi formulasi baja | DagangNews Skip to main content

MPOB, Briar Resources bekerjasama dalam pemindahan teknologi formulasi baja

KUALA LUMPUR 27 Julai - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Briar Resources Sdn. Bhd. memeterai dua memorandum perjanjian (MoA) untuk pemindahan teknologi dua formulasi baja bagi pengkomersialan kepada Briar Resources.

 

Dua formulasi baja tersebut ialah Enhanced MPOB F5 Fertilizer Formulation (MPOB F5 Improved) dan Enhanced MPOB F5 Super Fertilizer Formulation (MPOB F5 Premium). 

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Briar Resources dipilih kerana syarikat itu memiliki kemudahan seperti peralatan dan mesin untuk menghasilkan kedua-dua baja itu.

 

“Briar Resources juga mempunyai kepakaran menghasilkan baja pelet yang menstabilkan baja kimia dan bahan organik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

MPOB
Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources Sdn. Bhd., Wayne Lai Soon Wei (kiri) dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kanan) dengan dokumen perjanjian masing-masing yang telah ditandatangani sambil diperhatikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin, hari ini.

 

 

Di bawah kedua-dua perjanjian yang ditandatangani sempena Ekspo & Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES), Briar Resources akan mengeluarkan secara komersial kedua-dua formulasi baja untuk penanaman kelapa sawit.

 

Pada majlis itu, MPOB diwakili Pengerusinya, Tuan Jugah Anak Muyang @ Tambat dan Ahmad Parveez manakala Briar Resources diwakili Pengerusinya, Datuk Rizalman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif, Wayne Lai Soon Wei.

 

Pertukaran perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

MPOB F5 Improved boleh menjadi sumber alternatif baja kelapa sawit selain jenis baja lain yang dibangunkan oleh MPOB. Formulasi baja yang lebih baik boleh digunakan menggunakan penyebar mekanikal di ladang.

 

Sebaliknya, formulasi yang ditambahbaik dan bentuk baja MPOB F5 Premium telah terbukti meningkatkan kecekapan nitrogen dan mempunyai kekerasan relatif yang lebih tinggi, justeru kadar penggunaan baja dapat dikurangkan. 

 

Ia akan membantu menangani kekurangan buruh dengan penyesuaian penyebar mekanikal di lapangan. - DagangNews.com