Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir (kiri) bersama Pengarah Urusan RZtech Resources Sdn. Bhd., Rofizal Mat Rejab (kanan) menunjukkan dokumen perjanjian yang dimeterai bagi pengkomersialan teknologi untuk jentera memungut buah sawit relai di dalam ladang sambil diperhatikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, semalam.
KUALA LUMPUR 21 April - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai perjanjian dengan 4 syarikat tempatan untuk pengkomersialan teknologi yang dibangunkannya meliputi formulasi baja, mekanisasi perladangan dan poliol berasaskan sawit.
Ia melibatkan kerjasama dengan FGV Fertiliser Sdn. Bhd., Palmyra Polyurethane Systems Sdn. Bhd., Fulle Technik Sdn. Bhd. dan RZtech Resources Sdn. Bhd.
Perjanjian itu ditandatangani semasa pelancaran Majlis Prapelancaran Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 semalam yang dirasmikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
TOT 2021 yang akan diadakan pada 1 Julai 2021, adalah acara tahunan yang merupakan platform penting untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam industri sawit yang dibangunkan oleh para penyelidik MPOB.
Mohd. Khairuddin berkata, usaha sama antara MPOB dan syarikat-syarikat tempatan ini bagi pengkomersialan teknologi berkaitan sawit melibatkan kepakaran dan kemudahan penyelidikan MPOB yang mewujudkan situasi menang-menang dan menyumbang kepada kemajuan industri sawit negara.
"Penggunaan mekanisasi secara meluas di sektor perladangan juga akan menggalakkan penglibatan golongan belia untuk menceburi kerjaya dalam industri sawit yang dikaitkan dengan persekitaran kerja yang kurang menarik berbanding sektor lain," katanya.
Bagi kerjasama dengan FGV Fertiliser, ia memberi fokus kepada pengeluaran formulasi baja khusus untuk tanaman sawit yang mengandungi sumber nutrien dan mineral semula jadi akan meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh pokok sawit.
Perjanjian pengkomersialan teknologi yang ditandatangani dengan Palmyra pula adalah bagi penghasilan formulasi pelitup poliuretana berasaskan sawit untuk digunakan pada permukaan belakang karpet sukan dan rumput karpet hiasan tiruan.
Kerjasama dengan Fulle Technik pula tertumpu kepada pengkomersialan teknologi untuk jentera tiga roda penyembur racun berkuasa hibrid.
Perjanjian dengan RZtech Resources adalah bagi pengkomersialan teknologi bagi jentera untuk memungut buah sawit relai di dalam ladang.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, penganjuran TOT yang diadakan setiap tahun adalah antara strategi MPOB bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi.
Sehingga kini, kadar pengkomersialan teknologi yang dipatenkan mencapai 32.4% sementara kadar pengkomersialan adalah 30.4%.
"Interaksi MPOB dengan pihak industri yang diadakan secara berkala telah memberi maklum balas penting bagi menentukan keutamaan projek penyelidikan bersesuaian dengan keperluan industri.
“Pengkomersialan teknologi adalah antara komponen penting R&D yang merupakan salah satu petunjuk terpenting atau Indeks Prestasi Utama (KPI) MPOB,” katanya. - DagangNews.com