MPOC : Balkan manfaatkan Turki sebagai pintu masuk untuk import minyak sawit Malaysia | DagangNews Skip to main content

MPOC : Balkan manfaatkan Turki sebagai pintu masuk untuk import minyak sawit Malaysia

Oleh Nurul Hanis Izmir

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Negara-negara Balkan akan menggunakan Turki sebagai pintu masuk untuk mengimport minyak sawit Malaysia, memanfaatkan perjanjian
perdagangan bebas Malaysia-Turki (MTFTA) dan merapatkan jurang melalui kelebihan duti import yang diberikan oleh Turki kepada minyak sawit negara, kata Majlis
Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

 

Eksekutif pemasarannya yang berpangkalan di Istanbul, Hakan Alkan berkata, dalam tempoh pandemik, kos pengangkutan telah meningkat secara drastik sebanyak kira-kira 300%, menyebabkan penggiat industri membeli minyak sayuran dari Eropah dan bukannya membeli terus dari Malaysia.

 

“Selain menggunakan Turki sebagai pintu masuknya, wilayah atau rantau Balkan juga mengimport minyak sawit dari negara lain seperti Belanda (Rotterdam), Jerman
dan Itali,” katanya kepada Bernama.

 

Hakan menambah eksport minyak sawit Malaysia ke negara-negara Balkan akan terus meningkat kerana kebanyakan negara terbuka sepenuhnya untuk perniagaan.

 

Penggunaan minyak sawit per kapita mereka meningkat secara beransur-ansur, menambah kepada 20.6 kilogram (kg) pada 2020 daripada 19.5kg pada 2009, hasil daripada peningkatan dalam pendapatan per kapita dan pembandaran.

 

Minyak sawit kebanyakannya digunakan oleh industri makanan sebagai lemak untuk membuat kuih-muih manis (konfeksi) dan marjerin, katanya.

 

Beliau turut memaklumkan minyak bunga matahari adalah komoditi yang paling banyak dihasilkan dalam kalangan minyak sayuran lain di rantau ini, namun, harga minyak sawit adalah lebih kompetitif berbanding minyak bunga matahari.


 

mpoc

 


Rantau Balkan menghasilkan beberapa minyak sayuran seperti minyak bunga matahari, minyak zaitun, dan minyak biji sesawi.

 

Pada tahun 2020, pengeluaran minyak bunga matahari berjumlah 1.5 juta tan, minyak zaitun 310,000 tan, dan biji sesawi 224,400 tan.

 

Rantau itu juga mengeksport 977,800 tan minyak bunga matahari tahun lepas.

 

Sementara itu, jumlah import minyak dan lemak rantau ini pada tahun lepas berjumlah 985,200 tan dengan minyak sawit merupakan minyak import kedua tertinggi
sebanyak 234,900 tan.

 

Menurut data Lembaga Minyak Sawit Malaysia, pada 2020, jumlah eksport langsung produk sawit dari Malaysia ke rantau Balkan ialah 104,685 tan, meningkat 6.4% daripada 98,345 tan pada 2019.

 

“Kami faham disebabkan oleh COVID-19, harga komoditi telah meningkat, dan bagi minyak sawit, harganya melonjak dua kali ganda daripada tahun lepas. Ini juga disebabkan oleh kekurangan tenaga buruh yang menyebabkan pengeluaran lebih rendah,” katanya.

 

Hakan seterusnya meramalkan aliran menaik untuk harga minyak sawit akan berterusan sehingga Mac 2022.

 

Ditanya mengenai cabaran dalam mempromosikan minyak sawit di negara-negara Balkan, beliau berkata terdapat kempen anti-minyak sawit oleh pertubuhan bukan kerajaan yang mempengaruhi persepsi pengguna.

 

Untuk menanganinya, beliau berkata, MPOC telah menghasilkan rangkaian maklumat minyak sawit digital dengan ia memantau dan mengemas kini laman web serantau serta di semua medium rangkaian media sosial termasuk Facebook dan Twitter.

 

“Ia dikemas kini sama ada setiap hari atau secara mingguan dengan berita, perkembangan terkini mengenai industri minyak sawit Malaysia, dan program serta aktiviti kami yang akan datang dan pada masa ini,” katanya. - DagangNews.com