Skip to main content

MR D.I.Y. Group berdepan masalah kekurangan pekerja - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Julai - Kenanga Research menjangkakan kekurangan tenaga pekerja kekal menjadi masalah utama kepada MR D.I.Y. Group Berhad.

 

Firma itu berkata, maslaah itu dijangka selesai dengan kumpulan itu menjangkakan kemasukan tenaga kerja asing baharu dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

"Dalam usaha mengekalkan kakitangan mereka, kumpulan itu sentiasa patuh kepada peraturan gaji minimum selain pemberian insentif serta bonus prestasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu juga percaya, kumpulan itu berada di landasan terbaik untuk membuka 180 cawangan bagi FY22 dengan 83% adalah cawangan MR D.I.Y. dan selebihnya akan diisi oleh Mr Dollar and Mr Toy. 

 

Katanya, mereka juga berhasrat untuk memperkenalkan sembilan cawangan MR D.I.Y. Plus dalam tempoh dua ke tiga tahun bergantung kepada kawasan yang terdapat di dalam pusat beli belah.

 

Dalam pada itu, walaupun berlaku peningkatan purata harga jualan (ASP) sejak kempen 'Price Lock' pada 1QCY22, peningkatan pelanggan sangat ketara terutama selepas negara memasuki fasa endemik.

 

"Kami menjangkakan margin untung kasar kumpulan bertambah baik berbanding 1QCY22. 

 

"Kehadiran pelanggan ke semua cawangan sangat menggalakkan terutama selepas sempadan negara dibuka," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.65 disokong oleh potensi perkembangan perniagaannya yang dipacu oleh permintaan yang konsisten untuk produk mereka.

 

Katanya, kedudukan mereka sebagai peruncit perkakas rumah di pasaran domestik tidak dapat dicabar, margin keuntungan yang baik dan kunci kira-kira yang baik selain pegangan tunai yang kukuh. - DagangNews.com