MR. D.I.Y, Touch ‘n Go & UM agih lebih RM3.6 juta bantu pelajar buat persiapan kembali ke kampus | DagangNews Skip to main content

MR. D.I.Y, Touch ‘n Go & UM agih lebih RM3.6 juta bantu pelajar buat persiapan kembali ke kampus

Dari kiri, Effendy Shahul Hamid, Adrian Ong, Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato' Ir. Dr Mohd Hamdi Abd Syukor, dan Wakil Pelajar Universiti Malaya, Wan Afiq Ikhwan Wan Alias
Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 21 Jan - Usaha sama antara MR D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.), Touch ‘n Go Group (Touch ‘n Go), dan Universiti Malaya (UM), menerusi inisiatif #DIY4UM menyaksikan penjual barangan pembaikan rumah terbesar di Malaysia MR D.I.Y., mengagihkan lebih RM3.6  juta untuk membantu para pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, inisiatif #DIY4UM telah membolehkan lebih 12,000 pelajar UM menikmati fasa peralihan yang lebih selesa untuk meneruskan pengajian di kampus.

 

Katanya, menerusi #DIY4UM, setiap pelajar UM menerima bantuan tunai berjumlah RM300, untuk digunakan bagi membeli barangan keperluan harian dan peralatan pembelajaran.

 

Dana tersebut diagihkan melalui e-dompet Touch ‘n Go  dalam tiga bayaran sama rata sepanjang bulan November dan Disember 2021.

 

"Pengasas kami, Tan Yu Yeh, adalah alumni UM, dan yang selama ini, telah membantu kami memulakan serta menjayakan pelbagai program yang bermanfaat buat universiti, khususnya buat para pelajar dan komuniti yang terlibat.

 

"Kami juga tahu bahawa salah satu kumpulan yang paling teruk terkesan adalah pelajar universiti.

 

"Kami menyedari, apabila pelajar mula kembali ke kampus selepas pandemik, ramai yang memerlukan bantuan untuk memastikan mereka dilengkapi dengan keperluan harian, bahan pembelajaran dan barangan pelindung diri. Bagi memastikan peralihan balik ke kampus berjalan lancar dan tanpa masalah, kami memutuskan untuk melancarkan inisiatif #DIY4UM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Selain sumbangan tersebut, 11,000 pelajar terawal yang menggunakan dana tersebut layak menerima pulangan tunai RM10 apabila berbelanja minimum RM20 menggunakan  e-dompet Touch ‘n ‘Go di cawangan-cawangan Kumpulan MR D.I.Y., laman dalam talian MR D.I.Y. di www.mrdiy.com.my serta program mini MR D.I.Y. yang boleh didapati dalam e-dompet Touch ‘n ‘Go.

 

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Touch ‘n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa inisiatif usaha sama strategik bersama MR D.I.Y. dan amat berpuas hati melihat ia diperluaskan lagi ke bidang bukan komersial.

 

"Kami juga berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam program ini dan diharapkan agar ia dapat memberi motivasi kepada para mahasiswa/i UM untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih hebat dalam pengajian mereka," katanya.  -DagangNews.com