MRT3 dijangka lonjak nilai kontrak Sunway Construction tahun ini | DagangNews Skip to main content

MRT3 dijangka lonjak nilai kontrak Sunway Construction tahun ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Mei - MIDF Research menjangkakan nilai kontrak Sunway Construction Group Bhd. akan melonjak tahun ini apabila kontrak bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dilancarkan. 

 

Menurutnya, nilai kontrak semasa kumpulan adalah berjumlah RM4.4 bilion yang boleh memberi hasil bagi tempoh selama 3 tahun.

 

Katanya, kumpulan ketika ini masih ketinggalan daripada sasaran penambahan semula sebanyak RM2 bilion tahun ini, selepas memperoleh RM266 juta kontrak pada suku pertama 2022, iaitu 13.3% daripada sasaran tahun penuhnya.

 

"Sekiranya, Sunway Construction berjaya meraih kontrak bagi Pakej 2 MRT3 (kerja-kerja am), ia akan menjadi nilai kontrak terbesar pernah diraih kumpulan setakat ini. 

 

"Tender bagi pakej ini dijangka dikeluarkan pada bulan hadapan atau Julai dan akan dianugerahkan pada suku keempat 2022," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Sunway Construction, Liew Kok Wing berkata, kumpulan menyasarkan untuk meraih salah satu pakej bagi kerja-kerja am untuk projek MRT3 yang dianggarkan bernilai antara RM9 hingga RM10 bilion, yang akan menjadi kontrak terbesar dimenanginya dalam tempoh 4 dekad.

 

Mengambil kira prospek positif itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Construction dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM1.87 daripada RM1.80 sebelum ini. 

 

"Kami melihat kumpulan memiliki nilai kontrak yang kukuh, selain mempunyai potensi sebagai penerima manfaat daripada pelancaran semula projek MRT3. 

 

"Prospek kumpulan juga disokong dengan peralihan negara kepada fasa endemik yang menyaksikan operasi kembali normal," jelasnya.

 

Ini membolehkan firma itu mengekalkan unjuran hasil Sunway Construction bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak RM2.11 bilion manakala RM2.31 bilion pada FY23.

 

"Tetapi, kami membuat perubahan kepada untung bersih kumpulan berikutan kos bahan mentah yang lebih tinggi boleh menjejaskan margin, walaupun kesannya boleh dikurangkan dengan beberapa projek lain yang telah siap, sekali gus menyaksikan pelarasan margin lebih tinggi.

 

"Oleh itu, kami menyemak semula untung teras bagi FY22 kepada RM124.2 juta (berbanding sebelum ini, RM128.4 juta) dan FY23 kepada RM137.54 juta (berbanding sebelum ini, RM140.91 juta)," katanya. 

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersihnya melonjak 70.54% kepada RM34.52 juta daripada RM20.24 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, berikutan peningkatan margin keuntungan segmen pembinaan.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM624.66 juta daripada RM455.2 juta, berikutan sumbangan hasil yang lebih baik menerusi perniagaan pembinaan dan pratuang kumpulan. 

 

Setakat 12.19 tengah hari, harga sahamnya susut 1 sen atau 0.63% kepada RM1.57 dengan 12,300 saham diniagakan. - DagangNews.com