MSDN jadi badan penasihat tertinggi bagi kukuhkan tadbir urus sistem statistik negara - PM | DagangNews Skip to main content

MSDN jadi badan penasihat tertinggi bagi kukuhkan tadbir urus sistem statistik negara - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Majlis Statistik dan Data Negara (MSDN) akan bertindak sebagai badan penasihat tertinggi dalam memberi panduan bagi mengukuhkan tadbir urus sistem statistik negara.

 

Beliau berkata, data merupakan aset negara yang perlu diurus dengan baik agar dapat memberi pulangan yang besar kepada negara dalam bentuk maklumat yang boleh memberi garis pandu ke arah pencapaian matlamat dasar dan wawasan negara. 

 

Beliau berkata, kepelbagaian maklumat di peringkat nasional adalah kritikal yang perlu diselaraskan kerana ketersediaan data yang komprehensif serta berpadu diperlukan bagi menangani krisis kesihatan dan bencana alam yang melanda negara.

 

"Ia akan menerajui usaha menyelaras maklumat peringkat tertinggi negara (kerajaan dan swasta), penyaluran data terkini dan mengharmonikan proses kerja statistik.

 

"MSDN dianggotai oleh menteri-menteri Kabinet berkaitan, ahli akademik, wakil sektor awam, sektor swasta dan industri serta Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang bertindak sebagai Sekretariat," katanya selepas mengadakan mesyuarat pertama MSDN di Putrajaya, hari ini.

 

Antara keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat itu termasuk DOSM diperkasa sebagai agensi pusat dengan pengukuhan organisasi serta modenisasi perkhidmatan statistik selain Chief Data Officer (CDO) akan dilantik melalui penugasan semula tugas pegawai sedia ada di setiap kementerian, jabatan atau agensi persekutuan dan negeri bermula 2022 selain pelaksanaan rancangan tindakan Pengukuhan Sistem Statistik Negara. 

 

pm

 

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, sebuah Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali ditubuhkan bagi memacu kolaborasi antara kementerian, agensi dan pihak swasta dalam merealisasikan agenda berpandukan hala tuju MSDN.

 

Beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif ini berperanan mengenal pasti dan menentukan keutamaan bagi memenuhi keperluan pengukuhan sistem statistik negara. 

 

pm

 

Perdana Menteri berkata ,empat kluster iaitu Kluster Ekonomi, Pertanian dan Perindustrian, Kluster Pendidikan, Sosial dan Kependudukan, Kluster Kesejahteraan, Keselamatan dan Kesihatan serta Kluster Infrastruktur, Teknologi dan Alam Sekitar dikenal pasti sebagai komponen penggerak di bawah jawatankuasa itu.

 

Beliau berkata, Ia juga akan menyelaras keperluan teknikal, pungutan serta penyebaran statistik agar perkongsian data sedia ada (data pentadbiran) daripada kementerian, agensi awam dan swasta dapat digunakan dengan cekap ke arah penghasilan output statistik rasmi berimpak tinggi dalam merealisasikan agenda yang berpandukan halatuju MSDN.

 

pm

 

"Bagi menyokong MSDN di peringkat Persekutuan, Majlis Statistik dan Data Negeri/ Wilayah (MSDNgW) akan ditubuhkan di setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi memantapkan tadbir urus sistem statistik negeri dan daerah sehingga peringkat terkecil seperti kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

 

"MSDN turut mengambil maklum bahawa DOSM sebagai sebuah organisasi statistik yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berpegang kepada prinsip asas statistik rasmi atau Fundamental Principle Official Statistics (FPOS) yang disediakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)," katanya. - DagangNews.com