MSM akan kembali pulih tahun ini - Firma | DagangNews Skip to main content

MSM akan kembali pulih tahun ini - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Pretasi kewangan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dijangka bertambah baik tahun ini setelah kerugian bersih yang dialami syarikat pengeluar gula itu semakin berkurangan. 

 

Ini berdasarkan kepada prestasi kewangan MSM bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 yang menunjukkan kerugian bersihnya susut 76% kepada RM71.23 juta berbanding RM299.77 juta untuk tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

MIDF Research berkata, MSM akan merekodkan prestasi yang baik secara berperingkat tahun ini terutama disokong oleh permintaan eksport dan segmen perindustrian. 

 

"Bagaimanapun, perolehan kumpulan mungkin terjejas oleh prestasi kurang memberangsangkan bagi segmen borong. 

 

"Kami mengekalkan pandangan kami prestasi kewangan MSM semakin baik secara berperingkat-peringkat tahun ini berikutan peningkatan kos pengeluaran, jumlah dan premium yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : Kerugian bersih MSM susut 76%

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, MSM berkata, perolehan bagi 2020 meningkat kepada RM2.18 bilion berbanding RM2.01 bilion bagi tempoh sama 2019. 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, MSM mencatat peningkatan dalam jumlah keseluruhan pendapatan sebanyak 22% kepada RM630.33 juta berbanding RM516.04 juta tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

MSM menyifatkan, tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 menandakan kemajuan yang positif buat MSM ke arah pemulihan setelah mencatatkan kerugian 8 suku berturut-turut. 

 

Sementara itu, CGS-CIMB meningkatkan harga sasaran (TP) MSM kepada RM1.22 sejajar dengan jangkaan syarikat kembali mencatat keuntungan sekurang-kurangnya pada separuh pertama 2021. 

 

"Kami berpendapat prestasi suku keempat 2020 yang kukuh sebahagian besarnya bergantung kepada trend harga gula gutih premium yang memainkan peranan penting meningkatkan perolehan MSM menerusi skali ekonomi yang lebih baik dan harga gula mentah memandangkan margin penapisan gula domestik MSM tertekan dengan persekitaran harga gula mentah yang tinggi dan daya saing industri penapisan gula tempatan," katanya. 

 

Ketika taklimat prestasi kewangan, firma itu berkata, MSM mendedahkan beberapa petunjuk pendapatan yang positif terutamanya eksport premium kekal kukuh setakat ini dan telah mencapai 65% daripada sasaran jumlah jualan eksport pada separuh pertama 2021 dengan harga premium lebih baik. 

 

Selain itu, katanya, harga penapisan juga dijangka rendah berikutan harga gas yang rendah dan peningkatan hasil menerusi kilang penapisan di Johor kepada 92% pada suku keempat berbanding 80% sebelum ini serta penutupan kilang penapisan di Perlis. 

 

Setakat 11.44 pagi ini, harga saham MSM meningkat 13.45% kepada 97 sen sesaham dengan pasaran modal berjumlah RM390.15 juta. 

 

FGV Holdings Bhd. memiliki 51% kepentingan dalam MSM manakala Koperasi Permodalan Felda, 15.3%. - DagangNews.com