MSM Prai henti sementara operasi kilang ekoran COVID-19 | DagangNews Skip to main content

MSM Prai henti sementara operasi kilang ekoran COVID-19

KUALA LUMPUR 10 Jun – MSM Prai Berhad (MSM Prai), anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Berhad menutup sementara operasi bermula sekitar jam 5 petang pada 8 Jun 2021 hingga 17 Jun 2021 setelah menerima notis daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada 8 Jun 2021 bagi
melakukan proses nyahjangkitan di premis tersebut bagi membendung penularan wabak
COVID-19.


Setakat ini, kesemua 756 petugas premis termasuk kakitangan kontrak di mana lebih 92% adalah terdiri daripada warganegara Malaysia telah melalui ujian saringan selama dua hari sebagai langkah proaktif.

 

Seramai 8 daripada mereka yang didapati positif telah dikuarantin dengan serta-merta disusuli penjejakan kontak untuk ujian selanjutnya. Penutupan sementara ini akan memberi laluan kepada syarikat untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi secara menyeluruh bagi proses nyahjangkitan.

 

Pihak pengurusan menjangkakan penutupan sementara operasi akan menunda penghantaran beberapa jualan kepada pelanggan. Pihak pengurusan kini sedang berbincang dengan pelanggan yang terjejas untuk merangka masa penghantaran produk dan menjangkakan tidak akan ada impak yang teruk kepada Kumpulan memandangkan hubungan jangka panjang dengan pelanggan tersebut.

 

MSM Prai dijangka memulakan semula operasi pada 18 Jun 2021 atau lebih awal bergantung kepada kelulusan daripada pihak berkuasa terlibat.

 

Pihak syarikat masih melakukan penilaian terhadap impak daripada penutupan sementara tersebut terhadap pendapatan dan hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

MSM akan menstruktur semula strategi kebolehupayaan operasi dalam memastikan kesinambungan perniagaan serta meminimumkan impak khususnya dalam aspek memenuhi permintaan pelanggan dan memastikan bekalan stok yang mencukupi dalam tempoh penutupan.

 

Menurut syarikat itu, untuk terus menanggani situasi tersebut, MSM akan melaksanakan penggunaan sepenuhnya permit bagi mengimport gula bertapis sebagai tambahan stok sedia ada.

 

“Semua premis operasi MSM adalah sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah pencegahan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Tiada sebarang kes jangkitan yang dilaporkan pada tahun 2020.

 

Dalam laporan harian memperlihatkan negara berada pada tahap yang kritikal. Para petugas terdedah kepada pelbagai punca jangkitan. Kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan para petugas sentiasa menjadi keutamaan syarikat.

 

Sehubungan itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pihaknya akan terus memantau situasi tersebut dan memastikan bantuan kesihatan yang sewajarnya diberikan kepada petugas yang terkesan.

 

Melangkah ke hadapan ujar beliau, MSM akan merangka langkah-langkah pencegahan yang lebih kukuh. Dengan melakukan ujian, penjejakan dan membuat hebahan berkenaan keberkesanan vaksin.

 

 

msm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad

 

 

"MSM telah memohon kepada pihak berkuasa bagi mengutamakan permintaan program vaksinasi selaras dengan MSM sebagai pengeluar makanan keperluan asas serta mensasarkan pelaksanaan yang meluas dalam keseluruhan organisasi,” jelas beliau.

 

Menurutnya, syarikat kekal optimis bahawa MSM Prai akan dapat meningkatkan pengeluaran sejurus memulakan semula operasi tidak lama lagi sementara gula import telah tersedia sebagai langkah bagi menyokong keperluan negara untuk mengelakkan krisis kekurangan bekalan dalam pasaran. - DagangNews.com