MSM Prai tutup 10 hari, jejaskan bekalan - Firma | DagangNews Skip to main content

MSM Prai tutup 10 hari, jejaskan bekalan - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jun - Penutupan operasi MSM Prai Berhad (MSM Prai) secara mengejut selama 10 hari dijangka menjejaskan rantaian bekalan kepada pengguna dan pendapatan syarikat bagi suku kedua 2021.

 

Anak syarikat milik penuh MSM Malaysia Holdings Berhad semalam mengumumkan penutupan kilang mulai 8 hingga 17 Jun 2021 bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Setakat ini, kesemua 756 petugas premis termasuk kakitangan kontrak di mana lebih 92% adalah terdiri daripada warganegara Malaysia telah melalui ujian saringan selama 2 hari sebagai langkah proaktif. 

 

Seramai 8 daripada mereka yang didapati positif telah dikuarantin dengan serta-merta disusuli penjejakan kontak untuk ujian selanjutnya.

 

CGS-CIMB menganggarkan penutupan itu akan menyebabkan MSM berdepan kerugian pengeluaran sebanyak 2% dan 2.2% ke atas keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2022.

 

Ini kerana, jelasnya, operasi kilang penapisan tersebut adalah paling efisien dan menguntungkan dalam portfolio kumpulan.

 

"Pendapatan MSM pada suku kedua dijangka menyusut disebabkan pengeluaran rendah manakala kos operasi meningkat.

 

"Kilang penapisan di Johor pula tidak mungkin dapat menampung kekurangan ini kerana ia baru sahaja memulakan operasi 4 Jun lalu selepas ditutup selama 2 bulan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baca : MSM Prai henti sementara operasi kilang ekoran COVID-19

 

Sebelum ini, MSM memaklumkan penutupan kilang di Johor akan mengurangkan inventori yang disimpannya kepada sekitar 1.5 bulan.

 

"Atas sebab itu, kami bimbang dengan penutupan mengejutkan kilang Prai ini, memandangkan operasi di Johor baru bermula 4 hari lalu.

 

"Apatah lagi dengan inventori gula yang rendah, ia akan menyebabkan kekurangan bekalan gula bertapis kepada para pelanggannya," tambahnya.

 

MSM Prai dijangka memulakan semula operasi pada 18 Jun 2021 atau lebih awal bergantung kepada kelulusan daripada pihak berkuasa terlibat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pihak syarikat masih melakukan penilaian terhadap impak daripada penutupan sementara tersebut terhadap pendapatan dan hasil syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

 

Beliau juga berkata, syarikat kekal optimis bahawa MSM Prai akan dapat meningkatkan pengeluaran sejurus
memulakan semula operasi tidak lama lagi sementara gula import telah tersedia sebagai langkah bagi menyokong keperluan negara untuk mengelakkan krisis kekurangan bekalan dalam pasaran.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham MSM dengan harga sasaran RM1.41 sesaham.

 

"Memandangkan anggaran pendapatan tidak mengambil kira potensi ganggun di kilang Prai atau Johor, kami hanya mengambil maklum terhadap risiko penurunan bagi anggaran pendapatan," katanya. - DagangNews.com