MTC peruntuk RM28.3 juta bantu industri kayu-kayan | DagangNews Skip to main content

MTC peruntuk RM28.3 juta bantu industri kayu-kayan

 

 

KUALA LUMPUR 4 Mei - Eksport kayu-kayan negara sehingga Februari 2021 susut 3.3% kepada RM3.78 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu akibat pandemik COVID-19.

 

Ini mendorong beberapa langkah diambil Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi melalui Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bagi meningkatkan semula keupayaan subsektor ketiga terbesar ini selepas sawit dan getah.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, untuk itu, MTC  memperuntukkan sebanyak RM28.3 juta bagi dana pembangunan agar industri kayu-kayan lebih berdaya saing.

 

Selain itu, katanya, MTC telah mengambil beberapa initiatif baru bagi membantu para pemain industri, antaranya, mewujudkan program Young Entrepreneur Society (YES), bagi membantu peralihan kepimpinan pengasas kepada pengganti dalam industri perkayuan.

 

"Program lain termasuklah Program Penempatan Jurutera dan Latihan Prasiswazah dalam Industri Kayu Kayan 2021 (EPIP) dan TimbeReality, sebuah program khusus untuk mempromosikan produk kayu Malaysia di platform maya.

 

"MTC turut melaksanakan Program Inkubator Reka Bentuk 2.0, yang menghubungkan pereka/arkitek tempatan dengan syarikat berasaskan kayu dan perabot untuk menghasilkan produk bernilai tinggi buatan Malaysia serta Program Keusahawanan Pemasaran Digital dan Program Bantuan Eksport (EAP)," katanya dalam kenyataan. 

 

Semalam, beliau meluangkan masa bertemu dengan para pemain industri kayu-kayan pada Sesi Dialog Bersama Industri Pekayuan dan Majlis Iftar di Kuala Lumpur. 

 

Majlis yang dianjurkan MTC ini diadakan sempena program Jerayawara MTC 2021 untuk memberi penerangan tentang perkembangan pasaran terkini di samping usaha mengukuhkan lagi kedudukan industri perkayuan yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport komoditi negara.

 

Program ini merupakan acara tahunan MTC untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan industri kayu-kayan di peringkat negeri. 

 

Mohd. Khairuddin juga dijadual bertemu dengan pemain industri kayu-kayan di peringkat negeri di dalam sesi yang sama bermula dengan Melaka (6 Mei), Seberang Jaya, Pulau Pinang (7 Mei) dan Johor Bahru, Johor (10 Mei). - DagangNews.com