Skip to main content

Muhyiddin gariskan 3 ‘kunci’ tambah baik perniagaan anggota APEC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Penularan pandemik COVID-19 sehingga hampir melumpuhkan ekonomi dunia meletakkan cabaran buat negara anggota APEC untuk memastikan keseimbangan antara keutamaan kesihatan dan keperluan ekonomi. 

 

Anggota APEC percaya salah satu cara untuk memastikan ekonomi kembali pulih adalah menerusi kerjasama rapat dengan komuniti bisnes mereka. 

 

Disebabkan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan APEC yang merupakan sebuah entiti ekonomi perlu kekal sensitif terhadap keperluan sektor swasta dan terus menyuntik sebuah persekitaran yang meningkatkan keyakinan perniagaan. 

 

Berucap dalam sesi pembukaan ‘APEC CEO Dialogues 2020’ secara maya hari ini, Muhyiddin menggariskan tiga kunci utama yang perlu dicakna oleh anggota APEC untuk menambah baik kerjasama dengan sektor swasta sekaligus memastikan kelestarian ekonomi rantau itu pada masa hadapan. 

 

“Keutamaan pertama dan paling penting adalah untuk menekankan semula sokongan serta komitmen terhadap sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan. Ini penting untuk (sektor) perniagaan-perniagaan kita, memandangkan kestabilan dan ramalan pasaran adalah tonggak utama untuk memastikan dagangan dan pelaburan berterusan mengalir walaupun ketika krisis ini. 

 

“Ini sekali lagi menekankan keperluan untuk kita kembali kepada matlamat utama APEC iaitu perdagangan serta pelaburan bebas dan terbuka di rantau ini. Ini penting sebagai usaha untuk membina semula usaha ekonomi selepas penularan pandemik tersebut,” ucap Muhyiddin.  

 

Ucapan Muhyiddin bersempena dialog itu dirakam lebih awal dan telah disiarkan pagi tadi. 

 

apec

 

Bertemakan 'APEC Reimagined: Priorities in the Aftermath of COVID-19', APEC CEO Dialogues 2020 bersiaran selama 25 jam di lapan zon waktu berbeza, melibatkan pemimpin-pemimpin APEC, ketua pegawai eksekutif di peringkat global, usahawan cemerlang serta pakar-pakar yang diiktiraf.

 

Seterusnya, persekitaran yang memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan ketika ini amat mendesak dan ekonomi digital perlu diberikan penekanan serta dipertingkatkan, Muhyiddin menggariskan ‘kunci’ kedua. 

 

Menerusi aspek inovasi dan pendigitalan bukan sahaja melindungi kesihatan dan keselamatan masyarakat, malah mempercepat usaha negara-negara APEC untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi. 

 

“Pada hari ini, inovasi yang berterusan melangkaui sebuah kewajipan. Ini merupakan pra syarat untuk perniagaan-perniagaan kekal relevan. 

 

“Kesemua teknologi digital ini penting untuk menyokong dan menambahbaik nilai cadangan perniagaan dan usahawan,” tambah Muhyiddin sambil menegaskan sorongan mempromosi keterangkuman digital selain meruncingkan jurang digital golongan tersebut.  

Memastikan tiada seorang pun yang ketinggalan terutama ketika proses pemulihan ekonomi, Muhyiddin menegaskan pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh sebagai keutamaan ketiga. 

 

Dalam ucapannya, Muhyiddin memberi contoh kajian dilaksanakan oleh Bank Dunia yang mendapati pendapatan negara per kapita akan berkembang dengan ketara sekiranya halangan ekonomi dibuang atau dikurangkan untuk golongan wanita. 

 

Ujar Muhyiddin, ini secara tidak langsung menunjukkan betapa pentingnya untuk anggota APEC mengiktiraf sumbangan wanita terhadap ekonomi dan peranan besar yang digalas mereka untuk mendorong ekonomi menyeluruh. - DagangNews.com

 

logo apec