Muhyiddin, individu terawal Malaysia disuntik vaksin COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin, individu terawal Malaysia disuntik vaksin COVID-19

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu terawal di negara ini yang disuntik vaksin COVID-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNtech hari ini. 

 

Turut bersama-sama menerima suntikan awal itu adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta empat pekerja barisan hadapan yang lain. 

 

Suntikan vaksin COVID-19 berkenaan menandakan saat bersejarah buat negara sekali gus memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

 

Sekitar 2.25 petang, Muhyiddin tiba di Pusat Kesihatan Daerah di Precint 11, salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenalpasti bagi program imunisasi berkenaan. 

 

Beliau perlu melalui lima proses atau stesen yang ditetapkan sebagai protokol untuk menerima suntikan vaksin berkenaan.

 

Selepas sesi taklimat di dalam auditorium, Muhyiddin menandatangani borang persetujuan suntikan vaksin yang merupakan salah satu prosedur buat penerima suntikan vaksin berkenaan. 

 

Muhyiddin Yassin
TANGKAP layar Muhyiddin ketika menandatangani borang persetujuan bagi suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNtech.

 

Protokol atau susun atur untuk menandatangani borang berkenaan penting kerana ia mengandungi elemen-elemen untuk mengesahkan keadaan kesihatan penerima selain hukum suntikan vaksin dari sudut agama Islam. 

 

Ketika sesi menandatangani borang berkenaan, turut serta di sebelah Perdana Menteri adalah Noor Hisham yang menjadi antara individu awal menerima suntikan vaksin berkenaan. 

 

Noor Hisham
TANGKAP layar Noor Hisham yang turut menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNtech hari ini.

 

Seluruh rakyat Malaysia memberikan perhatian penuh apabila Muhyiddin mula disuntik vaksin keluaran Pfizer-BioNtech di bahunya menggunakan picagari ‘low dead volume’ atau LDV untuk mengurangkan pembaziran setiap titisan vaksin COVID-19.

 

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan dalam tiga fasa.

 

Fasa 1 yang berlangsung dari Februari hingga April 2021 disasarkan kepada kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

 

Fasa 2 pula bermula April hingga Ogos melibatkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

 

Fasa 3 akan bermula Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

 

Pendaftaran suntikan vaksin COVID-19 boleh mula dibuat di aplikasi MySejahtera. - DagangNews.com