Muhyiddin mampu terus kesinambungan pulihkan Malaysia daripada krisis (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin mampu terus kesinambungan pulihkan Malaysia daripada krisis (SURAT PEMBACA)

Tuan Pengarang, 

 

Jika mahu melantik panglima perang, siapa yang paling wajar menjadi pilihan? Individu yang berpengalaman atau mereka yang perlu bermula dari kosong, belajar dari huruf A dan kemudian harus melangkah setapak demi setapak untuk mengenali musuh di medan.

 

Sama juga dalam perang kita melawan virus berbahaya dinamakan COVID-19 yang sudah meninggalkan banyak kesan negatif selama lebih setahun penjarahan, mencetuskan pilu buat mereka yang kehilangan ahli keluarga dan memberi tekanan kepada ekonomi serta perniagaan.

 

Perang melawan COVID-19 sudah mempunyai panglima baharu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sudah lebih setahun berpengalaman merangka strategi dan taktikal dalam usaha mengurus pandemik,  dan kini adalah tempoh kritikal untuk negara merangka pula pelan pemulihan.

 

Kita perlukan ketua dalam menjayakan pelan pemulihan, ketua yang turut berpengalaman seperti juga panglima kita di medan perang melawan pandemik berkenaan.

 

Siapa lagi paling layak jika tidak Tan Sri Muhyiddin Yasssin bagi memastikan semua strategi untuk mengakhiri pandemik COVID-19 dapat dilaksanakan sepenuhnya, memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam usaha meneruskan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

Pengalaman beliau dalam pentadbiran bukan sehari dua, malah Muhyiddin juga individu yang ketika menjadi Perdana Menteri, bermesyuarat setiap hari untuk memandu Malaysia dalam pengurusan krisis kesihatan, meluluskan bantuan untuk rakyat dan sektor terkesan serta memulihkan kembali ekonomi yang terjejas akibat virus berkenaan.

 

Kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 sehingga negara berjaya mencapai sifar kes COVID-19 pada Julai 2020 bukannya datang secara kebetulan walaupun kemudian ada juga kelemahan yang sedikit sebanyak turut disumbangkan oleh kita yang mengabaikan peraturan.

 

Pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) sangat tepat untuk merangka jalan keluar bagi Malaysia menyelesaikan krisis COVID-19 secara berfasa melalui segala dasar dan stragegk yang sudah dan mungkin ditambah lagi selepas ini.

 

Beliau sudah membuktikan kemampuannya sebelum ini, mendapat pujian antarabangsa kerana kejayaannya mengetuai negara menguruskan pandemik menerusi pendekatan yang seimbang dalam aspek kesihatan dan melindungi hidup serta kehidupan.

 

Program vaksinasi dilancarkan ketika Muhyiddin mengetuai jentera pentadbiran, hasilnya kini sudah mula kelihatan dengan penurunan kes kemasukan pesakit, sama ada yang kritikal ke fasiliti kesihatan atau yang bergejala ringan ke pusat rawatan dan kuarantin di seluruh negara.

 

Bagi melindungi hidup serta kehidupan, pelbagai pakej rangsangan dilaksanakan dan misi beliau masih boleh diteruskan dengan amanah baharu ini walaupun bukan lagi Perdana Menteri selepas meletak jawatan disebabkan gangguan politik berterusan.

 

Rugi jika pengalaman beliau tidak digunakan untuk membantu kerajaan dalam aspek memulihkan negara daripada krisis COVID-19 yang sejujurnya memerlukan sokongan semua pihak tanpa disabotaj kepentingan politik mana-mana pemimpin atau parti.

 

Semua boleh melihat kemajuan signifikan yang sudah dicapai, terutama melalui program vaksinasi. Siapa boleh menafikan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan yang tidak putus-putus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, sama ada secara makro ataupun mikro.

 

Kita perlukan kesinambungan itu dan jika apa yang dirancang berjalan lancar bersama keizinan Allah SWT, mungkin negara dapat mengerakkan perubahan setiap fasa pemulihan dengan lebih progresif dan keluar daripada krisis ini lebih awal daripada yang disasarkan.

 

Kita mahu matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara mencapai kejayaan, melihat pembukaan semula - sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan, selain mengharapkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan.

 

Tidak salah memberi peluang kepada Muhyiddin membuktikan kemampuan, apatah lagi khidmatnya sebagai Pengerusi MPN juga dilihat ikhlas kerana bertugas secara sukarela tanpa dibayar sebarang imbuhan.

 

Mokhtar Salahuddin
Bandar Baru Bangi