Muhyiddin: Melaka perlu diberi peluang berkembang semasa tempoh peralihan ke fasa endemik | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin: Melaka perlu diberi peluang berkembang semasa tempoh peralihan ke fasa endemik

MELAKA 21 Okt - Sebagai sebuah negeri yang terkenal dengan sektor pelancongan serta pembuatan, Melaka perlu diberi peluang untuk berkembang dan maju dalam peralihan daripada fasa pandemik kepada fasa endemik. 


Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagaimana yang semua maklum, Melaka telah beralih ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 18 Oktober lalu setelah berjaya menepati nilai-nilai ambang yang ditetapkan. 

 

Beliau juga bekas Perdana Menteri berkata, hari ini beliau berpeluang mengadakan sesi dialog bersama pemain-pemain industri sektor ekonomi dan sosial di negeri Melaka.

 

Sebenarnya ujar beliau, perjumpaan hari ini bukan sahaja bertujuan untuk mendengar pandangan dan mengumpul aspirasi proses pemulihan negara menggunakan pendekatan seluruh negara "whole of nation", tetapi juga untuk mendengar secara langsung rintihan dan keresahan penggerak-penggerak industri seterusnya mencari penyelesaian bersama. 

 

''Seperti yang saya tekankan sebelum ini, proses pemulihan bukan satu proses yang mudah dan memerlukan penglibatan bersama seluruh rakyat Malaysia. Justeru, dalam merangka perancangan pemulihan, MPN perlu sentiasa mendengar, mengambil kira dan menimbang segala pandangan serta dan idea setiap lapisan masyarakat di Malaysia. 

 

''Dalam majlis dialog hari ini, saya sekali lagi menegaskan Malaysia tidak boleh sekadar pulih daripada pandemik ini, tetapi kita perlu menjadi terbaik dalam segala apa yang kita lakukan. It is not enough for Malaysia to get better and to recover, but we must be the best in whatever we do,'' kata beliau dalam hantaran di Facebooknya di sini hari ini.

 

 

PM
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

 

Muhyiddin berkata, sebagai Pengerusi MPN, beliau telah mencadangkan penubuhan Majlis-majlis Pemulihan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing bagi memastikan Pelan Pemulihan ini dapat dilaksanakan secara holistik di peringkat negeri juga.


 
Katanya, dalam perjumpaan tersebut pemain-pemain industri di negeri ini  telah membangkitkan isu berkaitan kekangan tenaga kerja dan pembiayaan bagi  membuka semula perniagaan mereka.

 

''Kedua-dua isu ini sedang diteliti oleh dua jawatankuasa khas yang ditubuhkan semasa mesyuarat MPN yang lepas dan insya-Allah jawatankuasa-jawatankuasa ini akan membentangkan laporan dalam jangka masa sebulan.

 

''Dalam pertemuan dengan penggerak- penggerak sektor sosial pula, saya menekankan pemulihan negara perlu holistik dan tidak hanya tertumpu kepada pemulihan ekonomi semata-mata.

 

''Justeru, amat penting untuk kita mengambil kira aspek pemulihan dari segi kemasyarakatan, tata hidup dan rohani supaya pemulihan yang dijalankan lebih sekata dan bermakna serta memberi  manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia,'' katanya. 

 

Muhyiddin juga mengingatkan, proses pemulihan seperti mana dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip tiada kelompok yang tertinggal - no one is left behind.

 

''Prinsip ini bukan  sekadar slogan dan laungan, tetapi merupakan nilai yang amat penting untuk dijadikan amalan demi mencapai pemulihan yang seimbang dan menyeluruh. 

 

''Alhamdulillah, saya kagum dengan semangat kental dan kecekalan rakyat negeri Melaka dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19. Saya yakin dan percaya, dengan kerjasama semua pihak, kita dapat bangkit kembali,'' kata Muhyiddin. - DagangNews.com