Mulpha International terima tawaran pengambilalihan pada RM2.30 sesaham | DagangNews Skip to main content

Mulpha International terima tawaran pengambilalihan pada RM2.30 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - Mulpha International Bhd. menerima notis tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat daripada beberapa pihak bersama pada harga RM2.30 sesaham.

 

Menurutnya, pihak berkenaan menyatakan hasrat untuk memiliki baki saham syarikat yang tidak dimiliki mereka berjumlah 155.53 juta saham biasa.

 

"Ia mewakili 49.98% daripada jumlah saham terbitan Mulpha International yang belum dimiliki oleh pihak yang mengemukakan tawaran bersama ini.

 

"Terdapat sembilan pihak bersama yang mengemukakan tawaran membabitkan Lee Ming Tee, Lee Seng Hui, Lee Seng Huang, Klang Enterprise Sdn. Bhd., Sagittarius Management Sdn. Bhd. (SMSB), Mount Glory Investments Ltd., Magic Unicorn Ltd., Mountbatten Corp. dan Nautical Investments Ltd.," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Berdasarkan notis yang dikeluarkan UOB Kay Hian Securities (M) Sdn Bhd. bagi pihak syarikat, pihak berkenaan ketika ini memegang 155.65 juta atau 50.02% daripada 311.18 juta saham yang diterbitkan.

 

Bagi mengelakkan keraguan, Seng Hui dan SMSB tidak memiliki sebarang saham dalam syarikat pada tarikh notis ini iaitu 23 September 2022.

 

Notis itu menunjukkan harga RM2.30 mewakili premium 10.05% dan 9% untuk harga pasaran purata wajaran volum lima hari dan sebulan (VWAP) saham Mulpha sehingga Khamis (22 September) masing-masing sebanyak RM2.09 dan RM2.11 sesaham.

 

Sementara itu, bagi VWAP tiga dan enam bulan RM2.13 dan RM2.19, harga tawaran diterjemahkan kepada diskaun masing-masing sebanyak 7.98% dan 5.02%. 

 

Bagaimanapun, berbanding VWAP setahun saham Mulpha International sehingga Khamis sebanyak RM2.39, harga tawaran mewakili diskaun sebanyak 3.77%.

 

Salinan notis pengambilalihan yang disertakan dalam pengumuman berkenaan dan perkara yang sama akan diposkan kepada pemegang saham dalam tempoh tujuh hari dari tarikh pengumuman dikeluarkan.

 

Mulpha International ialah sebuah syarikat pelaburan pelbagai yang mengkhusus dalam sektor infrastruktur, hospitaliti dan hartanah.

 

Dalam penutupan petang ini, harga saham Mulpha International menokok 18 sen atau 8.57% kepada RM2.28 dengan 2.55 juta saham diniagakan. - DagangNews.com