Muzili Aznor kekal presiden All Reds Malaysia | DagangNews Skip to main content

Muzili Aznor kekal presiden All Reds Malaysia

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Kelab penyokong rasmi Liverpool FC di negara ini, All Reds Malaysia (ARM) mengekalkan Muzili Aznor Musa sebagai presiden kelab yang telah diterajuinya sejak tahun 2012.

 

Pemilihan tersebut dimuktamadkan di dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) kelab kali ketujuh dan kelapan yang diadakan serentak secara maya hari ini, berikutan pandemik COVID-19.

 

Lebih 300 ahli yang menghadiri AGM tersebut turut memilih Wan Zamarudin Mohd Yusuf sebagai Timbalan Presiden 1; Mohd Hanafiah Yahya sebagai Timbalan Presiden II.

 

Seramai lima ahli jawatankuasa (AJK) yang terpilih ialah Perves Farook Yunus, Mohd Haniff Yahya, Ahmad Faizal, Sheikh Mohd Adzha Sheikh Ramdzan dan Duraisingam Sinnapan.


 

ARM




Jawatan Setiausaha dan Bendahari serta Juruaudit kelab akan diputuskan di dalam mesyuarat AJK tidak lama lagi.

 

Pada AGM tersebut, antara agenda yang diumumkan oleh Muzili ialah keahlian kelab bagi ahli-ahli tahun lalu, disambung terus ke tahun hadapan tanpa perlu membayar yuran pembaharuan ahli.

 

Sementara itu ujar beliau, kempen pengambilan ahli baharu pula akan hanya dikenakan yuran RM50 dan tempoh berkenaan akan diumumkan di dalam media sosial rasmi ARM tidak lama lagi.


 

ARM Muzili
Muzili Aznor Musa

 


Turut dibentangkan pada AGM ialah cadangan pindaan beberapa fasal di dalam perlembagaan kelab, antaranya logo baru kelab, memudahcara penerimaan ahli baharu, hak mengundi dan hak presiden untuk melantik seberapa ramai AJK mengikut keperluan kelab.

 

Terdahulu semasa ucapan pembukaan, Muzili memohon maaf di atas kelewatan mengadakan AGM disebabkan faktor Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara.

 

Beliau mengingatkan ahli-ahli agar sentiasa mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang melanda negara pada masa ini. – DagangNews.com