MyCC : 5 pengeluar makanan ayam naikkan harga dikesan langgar Akta Persaingan 2010  | DagangNews Skip to main content

MyCC : 5 pengeluar makanan ayam naikkan harga dikesan langgar Akta Persaingan 2010 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mendapati 5 pengilang makanan ayam terlibat dalam perjanjian anti-persaingan dan amalan bersepadu untuk menaikkan harga makanan ayam.

 

Syarikat tersebut yang dikesan melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) ialah Dindings Poultry Development Centre Sdn. Bhd., FFM Bhd., Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn. Bhd.,  Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn. Bhd. dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. 

 

Hasil siasatan yang dijalankan menunjukkan syarikat berkenaan menaikkan kuantum harga makanan ayam yang mengandungi kacang soya dan jagung sebagai bahan utamanya, di antara awal 2020 sehingga pertengahan 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, makanan ayam adalah penyumbang utama kepada kos penternakan ayam iaitu kirakira 72.8% daripada jumlah kos keseluruhan. 

 

Katanya, apabila persaingan dimanipulasi dalam pasaran makanan ayam, keseluruhan bekalan rantaian dalam industri akan terjejas terutamanya pengguna, yang berada di hujung rantaian bekalan ini.

 

"Adalah jelas di bawah Akta Persaingan 2010 bahawa perusahaan tidak sepatutnya membuat sebarang perjanjian, bertukar maklumat perdagangan yang sensitif mengenai harga atau terlibat dalam sebarang amalan bersepadu yang menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan. 

 

"Sebaliknya, mereka harus menentukan tingkah laku masing-masing secara bebas dan memastikan suasana yang kompetitif dalam pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada 27 Jun 2022, Pasukan Khas MyCC telah membentangkan laporan penyiasatannya kepada Anggota-Anggota Suruhanjaya yang diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus. 

 

Selepas penilaian teliti dibuat terhadap laporan penyiasatan tersebut, MyCC sebagai badan separa
kehakiman, secara awalnya, melalui Keputusan Cadangan, mendapati syarikat-syarikat tersebut telah melanggar seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan memasuki perjanjian antipersaingan dan/atau amalan bersepadu dalam menaikkan kuantum harga makanan ayam.

 

Hasil siasatan turut mendedahkan bahawa maklumat perdagangan sensitif yang telah dikongsi antara syarikat-syarikat tersebut dilihat berpotensi untuk mengganggu persaingan dalam pasaran. 

 

Melalui penetapan harga pada kuantum yang sama menyebabkan kenaikan sama dalam kalangan perusahaan, pilihan pembeli dalam memilih pembekal makanan ayam pilihan mereka yang menawarkan harga terbaik
menjadi terhad. 

 

Kesannya, perlakuan itu boleh membawa kepada landskap antipersaingan dalam rantaian bekalan industri ayam.

 

Kelima-lima syarikat itu kini mempunyai peluang untuk mengemukakan representasi mereka dalam tempoh 30 hari sama ada secara lisan pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

 

Sekiranya terdapat pelanggaran, MyCC boleh mengenakan penalti kewangan sehingga 10% daripada pusing ganti seluruh dunia oleh syarikat-syarikat tersebut sepanjang tempoh pelanggaran. 

 

Selain daripada penalti, MyCC juga boleh mengenakan arahan tertentu yang dianggap wajar. - DagangNews.com