MyDigital dilaksana 3 fasa, tarik RM70 bilion pelaburan | DagangNews Skip to main content

MyDigital dilaksana 3 fasa, tarik RM70 bilion pelaburan

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika pelancaran inisiatif MyDigital pagi tadi secara maya.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan strategik itu merupakan pelengkap kepada dasar pembangunan negara seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Rancangan Malaysia ke-12.

 

Jelasnya, ekonomi digital dijangka menyumbang 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025 dan mewujudkan 500,000 pekerjaan. 

 

"Kerajaan juga akan membantu 875,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan platform e-dagang. 

 

"Inisiatif di bawah MyDigital ini turut menjadi pemangkin kepada 5,000 syarikat permulaan dalam tempoh 5 tahun," katanya dalam pelancaran MyDigital secara maya pagi tadi.

 

Menurut beliau, inisiatif ini juga akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baru dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri. 

 

Kerajaan, katanya, menyasarkan tahap produktiviti sektor ekonomi meningkat 30% lebih tinggi berbanding hari ini menjelang 2030.

 

"Bagi sektor awam pula, semua agensi akan menyediakan kemudahan transaksi tanpa tunai sebagai pilihan utama menjelang 2022," katanya. 

 

Perdana Menteri berkata, inisiatif MyDigital ini berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia, dari Perlis ke Sabah, untuk memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek. 

 

Antaranya, merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan dan lebih mudah dan teratur. 

 

"Dalam masa sama, ia juga memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak kita serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil," katanya.

 

Secara dasarnya, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menggariskan 22 strategi, merangkumi 48 Inisiatif Nasional serta 28 Inisiatif Sektoral.

 

Pelaksanaan rangka tindakan ini adalah bagi tempoh 10 tahun mulai 2021 hingga 2030 yang terbahagi kepada 3 fasa.

 

Fasa pertama, dari 2021-2022 melibatkan pengukuhan asas dan mempercepat pengunaan pendigitilan manakala fasa kedua adalah dari 2023-2025 dan menjurus kepada memacu transformasi digital yang inklusif.

 

Bagi fasa terakhir, dari 2026-2030 menyasarkan Malaysia menjadi pengeluar produk dan penyelesaian digital  serantau.

 

Bagi memacu dasar ini, Perdana Menteri mempengerusikan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara. Di bawah Majlis ini, 6 kluster ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Menteri-Menteri dan Ketua Setiausaha Negara untuk meningkatkan keberkesanan serta ketelusan dalam sistem penyampaian. - DagangNews.com