MyDigital letakkan Malaysia di landasan tepat - Cisco | DagangNews Skip to main content

MyDigital letakkan Malaysia di landasan tepat - Cisco

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Inisiatif MyDigital akan meletakkan Malaysia dalam landasan yang tepat untuk muncul sebagai peneraju ekonomi di rantau ini terutama dengan pelancaran 5G, menurut Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Albert Chai. 

 

Beliau menyifatkan, usaha yang dilaksanakan Malaysia ke arah transformasi digital dan memperluaskan ekonomi digital sememangnya telah menjadi sebahagian daripada agenda negara sejak dekad lalu.

 

"Tiada keraguan lagi bahawa kita perlu membina infrastruktur teknologi yang kukuh bagi merealisasikan aspirasi ini. 

 

"Dengan mengambil kira kedatangan 5G, dan juga keupayaan pengkomputeran awan yang dinamik, kedua-duanya memainkan peranan penting dalam inisiatif MyDigital," katanya kepada DagangNews.com.

 

Albert Chai
Albert Chai

 

 

Beliau mengulas mengenai pelancaran inisiatif MyDigital yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu. 

 

Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Kerajaan menyasarkan inisiatif itu akan menjadi titik tolak untuk menarik pelaburan baru dalam sektor digital sebanyak RM70 bilion dari dalam dan luar negeri. 

 

Kesungguhan Malaysia ke arah transformasi digital itu dilihat seiring dengan keperluan global terutama dalam teknologi 5G yang sedang berkembang pesat.

 

Memetik laporan tahunan internet Cisco 2020, Albert berkata, lebih daripada 10% keterhubungan mudah alih global akan disokong oleh 5G menjelang 2023. 

 

Ini merangkumi 5.3 bilion pengguna internet global yang dihubungkan dengan 29.3 bilion peranti mudah alih, sekali gus menjadikan pelancaran 5G lebih penting berbanding sebelum ini. 

 

"Laluan untuk merealisasikan potensi 5G di Malaysia bagi menyokong MyDigital akan bergantung kepada teknologi baharu, mengguna pakai model berasaskan perisian serta meningkatkan proses perniagaan dan operasi. 

 

"Ini bagi membolehkan operator rangkaian mudah alih menyediakan perkhidmatan baharu kepada pasaran pengguna dan syarikat dengan lebih cepat," katanya. 

 

Mengulas lanjut, beliau berpendapat, usaha memupuk modal insan digital dan mewujudkan tenaga kerja yang dinamik dan berkemahiran tinggi pada masa depan akan memberi kelebihan yang signifikan bagi MyDigital. 

 

"Bagaimanapun, bagi Malaysia untuk meraih manfaat daripada usaha transformasi digital ini, kita memerlukan modal insan yang boleh menerapkan budaya digital. 

 

"Pada masa sama, adalah penting untuk mendapatkan kemahiran yang tepat dan boleh menerajui usaha membina ekonomi digital dalam tempoh jangka masa panjang," katanya.

 

Albert berkata, langkah mewujudkan komuniti digital yang inklusif akan menjadi petanda baik buat negara sekiranya mempunyai bakat yang bertepatan dengan pekerjaan berkaitan digital, kemahiran dan industri.

 

Dalam masa sama, pihaknya turut memainkan peranan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan digital dan pereka inovasi untuk mengambil peluang dalam keupayaan pertumbuhan digital Malaysia ke peringkat seterusnya. 

 

"Susulan itu, ia memerlukan organisasi untuk meningkatkan usaha menambah baik dan menyusun semula kemahiran sebagai pelaburan dalam inisiatif masa depan. 

 

"Ini termasuklah transformasi tempat kerja, perubahan skala dan tindak balas yang pantas bagi memenuhi peluang perubahan dan cabaran dalam masa depan yang mengutamakan digital dan mudah alih," katanya. 

 

Malah, beliau berkata, perubahan dari segi bekerja jarak jauh juga harus dilakukan seiring dengan perkembangan ekonomi digital bagi memastikan orang ramai terus terhubung, produktif dan boleh beroperasi walau di mana jua. - DagangNews.com