MyEG dapat lanjutan 3 tahun sedia perkhidmatan e-kerajaan | DagangNews Skip to main content

MyEG dapat lanjutan 3 tahun sedia perkhidmatan e-kerajaan

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Dis. - MyEG Services Bhd (MyEG) memperoleh lanjutan 3 tahun bagi menyediakan perkhidmatan e-kerajaan. 

 


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu memberitahu, Kementerian Pengangkutan telah memberi lanjutan itu mulai 23 Mei 2020 hingga 22 Mei 2023. 

 


Katanya, lanjutan itu adalah penting kepada syarikat dan menjangkakan ia dapat menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 dan seterusnya. 

 


"Perjanjian bagi lanjutan ini akan ditandatangani secara formal dan diumumkan oleh syarikat bila sampai waktunya," katanya. 

 


Pada 23 Mei 2000, MyEG menandatangani perjanjian konsesi dengan kerajaan bagi penyampaian perkhidmatan elektronik melibatkan pendaftaran pemandu dan lesen kenderaan. 

 

Ini juga termasuklah perkhidmatan pelesenan dan saman dan bayaran bil utiliti (e-perkhidmatan) untuk tempoh minimum 15 tahun. 

 

 
Kumpulan menerima notis rasmi dari kerajaan pada 21 Mei lalu untuk melanjutkan penyediaan perkhidmatan e-kerajaan mulai 30 Jun 2020. - DagangNews.com