MYHackathon 2020 bangunkan rumusan digital bagi perkhidmatan kesihatan | DagangNews Skip to main content

MYHackathon 2020 bangunkan rumusan digital bagi perkhidmatan kesihatan

KUALA TERENGGANU 5 Okt. – MYHackathon 2020, yang merupakan satu daripada inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), komited untuk membangunkan penyelesaian digital serta menyelesaikan masalah semasa yang membelenggu rakyat, memasuki pusingan keduanya di Kuala Terengganu dengan tema Rakyat Sihat Sejahtera.

Objektif utama tema ini adalah untuk meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan awam dan mempromosikan gaya hidup sihat sejahtera melalui penyelesaian digital, yang antara lain akan mendigitalkan rekod perubatan, pengurusan dan laporan pesakit serta aspek seperti pendataan pesakit termasuk "persetujuan pesakit" untuk menerima khidmat perubatan dari hospital dan klinik kerajaan, terutama ketika menjalani kehidupan norma baharu pasca COVID-19.

MYHacktahon 2020 adalah sebuah inisiatif Kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini diterajui oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle), disokong oleh Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Unit Pemodenan Tadbiran & Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), University Makers (UniMAKER), dan Unifi di bawah Telekom Malaysia sebagai rakan telekomunikasi rasmi. Ia bertujuan mengoptimumkan peruntukan belanjawan 2020 sebanyak RM30.6 bilion.

MYHackathon 2020 membawa pendekatan 'oleh rakyat untuk rakyat' dengan menjemput inovator, jurutera perisian, pakar subjek dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menyertai dan bekerjasama demi kebaikan bersama. MYHackathon 2020 akan dianjurkan sebanyak enam pusingan di lokasi yang berlainan di seluruh Malaysia.

Setiap lokasi akan mengetengahkan tema tertentu dan set pernyataan masalah yang berkaitan bagi memaksimumkan nilai dan impak. Pernyataan masalah telah dikenal pasti pada semua peringkat kerajaan dari persekutuan, negeri dan tempatan/ daerah dan dikategorikan di bawah enam tema – Prihatin Rakyat, Rakyat Sihat Sejahtera, Ilmu Pelita Hidup, Bina Negara, Nilai Keluarga Asas Pembangunan dan Rakyat Produktif.

Pusingan kedua di Kuala Terengganu ini menyaksikan penyertaan seramai 102 pasukan. Pusingan MYHackathon 2020 seterusnya akan diadakan di Johor Bahru dan Pulau Pinang sebelum kemuncaknya, peringkat akhir ‘Battle of the Best’ di Cyberjaya pada Disember.

Cradle telah menyokong lebih dari 1,000 syarikat berasaskan teknologi Malaysia dalam pelbagai sektor dan mempunyai kadar pengkomersialan tertinggi antara semua agensi pembiayaan di negara ini.

"Kami percaya ada banyak lagi yang boleh dilakukan untuk membantu meningkatkan keberkesanan sektor kesihatan awam sekiranya kita libatkan rakyat dan syarikat pemula tempatan untuk mencari idea penyelesaian yang ideal.

Kami berbesar hati memainkan peranan kami dalam menyediakan platform untuk mencungkil bakat terpendam dan mengumpulkan idea penyelesaian yang berimpak tinggi dari seluruh negara untuk kebaikan bersama,” kata Razif Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi Cradle.

Pada setiap pusingan hackathon, pemenang pertama, kedua dan ketiga kategori SPRINT akan menerima hadiah wang tunai RM10,000, RM7,500, RM5,000 serta hadiah menarik.

Sementara itu, tiga pemenang kategori MARATHON pula akan menerima geran bersyarat sehingga RM250,000 untuk menjalankan projek rintis berdasarkan idea penyelesaian mereka.

Secara keseluruhan, program ini akan menghasilkan 36 pasukan pemenang untuk enam pusingan hackathon bagi kedua-dua kategori. MYHackathon 2020 Kuala Terengganu turut disokong oleh Terengganu Digital Hub (TD1303) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang komited menyokong inisiatif MOSTI.  - DagangNews.com