#MyMudah bantu usahawan dan peniaga luar bandar atasi pelbagai cabaran | DagangNews Skip to main content

#MyMudah bantu usahawan dan peniaga luar bandar atasi pelbagai cabaran

KUALA LUMPUR 27 Mac - Usahawan dan peniaga luar bandar boleh menyalurkan isu dan cabaran berkenaan peraturan yang dihadapi secara langsung melalui program Malaysia Mudah atau #MyMudah. 

 

Malah, platform #MyMudah juga boleh digunakan untuk berkongsi apa jua masalah yang dihadapi yang mana ia bertindak untuk memudahcara penyelesaian dengan pihak yang berwajib. 

 

Antaranya, masalah-masalah berkaitan usahawan kecil, capaian internet, akses kepada fasiliti kesihatan dan pembelajaran.

 

Ini ditekankan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ketika sesi taklimat penubuhan Unit #MyMudah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensi-agensinya.

 

 

Abdul Latif Abu Seman
Abdul Latif Abu Seman

 

 

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, aduan dan isu yang diterima melalui program #MyMudah melangkaui perihal yang hanya berkaitan dengan kesan buruk COVID-19 ke atas industri dan ekonomi. 

 

Pada masa sama, katanya, ia juga merangkumi cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri dan orang awam sejak sekian lama.

 

“Masalah-masalah yang dihadapi oleh usahawan dan peniaga luar bandar memerlukan pendekatan Keseluruhan Kerajaan atau 'Whole of Government Approach'. 

 

"Setiap pemegang taruh dan pihak berkepentingan perlu berunding dan berbincang mengenai tindakan yang sewajarnya agar para usahawan dan peniaga boleh menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan produktif dalam menjalani aktiviti harian," katanya dalam kenyataan.

 

KPLB menyambut baik pelaksanaan program #MyMudah yang dilihat dapat menyepadukan kerjasama antara agensi-agensi di bawah KPLB dan dengan kementerian-kementerian lain. 

 

Melalui #MyMudah, pelbagai isu dapat diketengahkan kepada pihak yang betul untuk diselesaikan.

 

Peranan #MyMudah melangkaui semakan peraturan dan penambahbaikan proses dalaman sesebuah organisasi, malah ia meliputi ruang lingkup yang lebih besar merangkumi pelbagai pihak dalam memudahcara intervensi isu. 

 

Sebagai contoh, dalam isu pembukaan taska yang dimudahcara oleh MPC, penyelesaian memerlukan kerjasama dari beberapa kementerian serta agensi kerajaan. Skop #MyMudah lebih besar kerana ia meliputi keseluruhan rantaian nilai proses.

 

MPC berhasrat untuk mengadakan lebih banyak sesi libat urus melalui #MyMudah dengan KPLB dan agensi-agensi di bawahnya dalam menyelesaikan isu dan cabaran yang dihadapi oleh usahawan dan peniaga luar bandar. - DagangNews.com