#MyMudah terima 300 aduan berkaitan peraturan tidak perlu | DagangNews Skip to main content

#MyMudah terima 300 aduan berkaitan peraturan tidak perlu

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman memberi taklimat kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong mengenai #MyMudah dan inisiatif lain oleh agensi itu.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman memberi taklimat kepada Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong mengenai #MyMudah dan inisiatif lain oleh MPC.

 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Sebanyak 300 masalah berkaitan dengan peraturan yang tidak perlu dan kerenah birokrasi diterima melalui inisiatif MalaysiaMudah, #MyMudah.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, jumlah tersebut diterima sejak inisiatif berkenaan diperkenalkan pada 20 Julai 2020.

"Sejak #MyMudah dilancarkan pada 20 Julai 2020 oleh MPC (Perbadanan Produktiviti Malaysia), sebanyak 300 masalah telah dikemukakan oleh para peniaga melalui portal Unified Public Consultation (UPC).

"Daripada keseluruhan aduan itu, 58% aduan berkait dengan perkhidmatan, 22% berkait dengan polisi kerajaan, pembinaan (9%), pertanian (7%), pembuatan dan perlombongan dan galian masing-masing pada kadar 3%," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Insiatif #MyMudah bermatlamat untuk membantu syarikat dan perniagaan daripada dibebani pelbagai peraturan tidak perlu dan kerenah birokrasi.

#MyMudah juga membantu perniagaan tempatan untuk mengurangkan kos pematuhan peraturan yang dikenakan kepada syarikat dan perniagaan.

Kelebihan itu membuka peluang pelaburan dan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan untuk merangsang ekonomi.

Melalui inisiatif ini, pembuat polisi, pengawal selia atau badan pelaksana digalakkan untuk menghapuskan, mengkaji dan mengetepikan secara sementara atau kekal syarat peraturan tertentu sekiranya didapati membebankan perniagaan sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Hingga kini, MPC telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk terlibat dalam perniagaan di Malaysia.

Sebanyak 41 Perbincangan Meja Bulat Perniagaan secara dalam talian dijalankan untuk mengenal pasti masalah peraturan yang dihadapi oleh komuniti perniagaan di Malaysia.

Dalam pada itu, sebanyak 47 syarikat telah mengambil bahagian dalam Business Regulation Virtual Advisory Clinics secara one-on-one untuk pengesahan masalah yang diketengahkan.

"Saya tidak sabar untuk melihat lebih banyak masalah yang dapat diselesaikan di bawah inisiatif #MyMudah kerana ia akan memudahkan lagi peniaga menjalankan perniagaan mereka.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada MPC dan semua pihak berkepentingan yang membantu menyelesaikan masalah ini demi kepentingan semua perniagaan dan rakyat Malaysia secara umumnya," tambahnya lagi. - DagangNews.com