Naikkan cukai eksais vape hanya untungkan syarikat tembakau | DagangNews Skip to main content

Naikkan cukai eksais vape hanya untungkan syarikat tembakau

 

KUALA LUMPUR 23 Sept – Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) hari ini membantah cadangan syarikat gergasi tembakau, JTI yang menyarankan supaya kerajaan mengenakan cukai yang tinggi ke atas vape setara dengan kadar cukai rokok.

 

Ketua Penerangan Dewan Perniagaan Vape Malaysia, Ashraf Rozali berkata, cadangan tersebut hanya akan menguntungkan syarikat tembakau dan membantutkan usaha industri vape untuk menggalakkan perokok bertukar kepada vape yang kurang mudarat.

 

Beliau berkata, mengenakan cukai eksais yang tinggi, menyamai dengan rokok adalah satu perkara yang tidak bernas kerana ia akan menyebabkan harga produk vape jauh lebih mahal dan tinggi daripada rokok.

 

Pada masa ini ujar beliau, setiap unit produk vape dijual antara harga RM12-RM20 dan ini tidak termasuk peranti vape yang jauh lagi tinggi. Manakala satu pek rokok adalah antara RM12-RM17.

 

“Sekiranya cukai dinaikkan untuk produk vape, ia akan menghalang perokok bertukar kepada produk vape yang terbukti kurang mudarat berbanding rokok. Cadangan mereka hanya bertujuan untuk menguntungkan mereka sendiri,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

 

Ashraf Rozali turut berkata selama ini industri rokok telah menunjukkan bahawa cukai yang tinggi akan menyebabkan isu penyeludupan untuk mengelakkan cukai.

 

“Isu rokok seludup akibat cukai yang terlalu tinggi merupakan suatu perkara yang selalu disebutkan dalam industri rokok. Ia telah menjadi suatu contoh untuk seluruh dunia di mana isu penyeludupan rokok akibat cukai yang terlalu tinggi menjadikan Malaysia sebagai negara no.1 dengan kadar penyeludupan rokok yang tertinggi di dunia.

 

''Jika cukai eksais vape dinaikkan setara dengan cukai rokok, maka industri vape tempatan hanya akan menerima nasib yang sama seperti industri rokok,” katanya.

 

 

Ashraf Rozali
                  Ashraf Rozali

 

 

Beliau juga menambah, perkara yang paling utama pada masa ini adalah berkenaan dengan peraturan yang perlu diperkenalkan untuk industri vape dan ia perlu berbeza dengan rokok kerana vape merupakan satu produk yang kurang mudarat berbanding rokok.

 

Menurutnya, industri vape telah sekian lama memperjuangkan keperluan peraturan diperkenalkan terutamanya dari segi penggunaan nikotin dalam cecair vape, pematuhan piawaian kualiti dan keselamatan untuk produk. Semua ini adalah untuk membolehkan industri vape berkembang dan membolehkan perokok bertukar kepada vape.”

 

“Vape merupakan alternatif yang kurang mudarat berbanding rokok. Kajian antarabangsa telah membuktikan fakta ini dan terdapat banyak negara seperti UK, New Zealand yang telah mengambil pendekatan sebegini untuk menyarankan perokok di negara tersebut untuk beralih kepada produk vape,” ujar beliau.

 

“Malah peraturan yang sedia ada di negara-negara tersebut membezakan vape dan rokok dan membenarkan vape dipromosikan dan diiklankan sebagai satu kaedah yang boleh membantu orang ramai berhenti merokok,” katanya.

 

“Kami berharap dalam pembentangan Belanjawan 2022 bulan depan, Kerajaan akan memperkenalkan peraturan dan sistem percukaian untuk industri vape yang berbeza daripada industri rokok. Industri vape sedia menyokong kerajaan dalam perkara ini dan memohon agar industri dilibatkan dalam sesi konsultasi berkenaan peraturan untuk vape,” kata Ashraf Rozali.

 

Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), yang ditubuhkan pada 2015, ialah satu-satunya persatuan berkaitan vape yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri. – DagangNews.com