Naim jual tanah RM340 juta di Bintulu kepada SEDC | DagangNews Skip to main content

Naim jual tanah RM340 juta di Bintulu kepada SEDC

 

KUALA LUMPUR 17 Julai – Syarikat milik penuh Naim Holdings Berhad, Petrochemical Hub Sdn Bhd menjual dua bidan tanah kosong seluas 405.6 hektar di Bintulu, Sarawak kepada Sarawak Economic Development Corp (SEDC) pada harga RM340 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Naim memberitahu tanah tersebut terletak di kawasan perindustrian Kidurong melalui Jalan Sabekas di Tanjong Kidurong, Bintulu. Tanah tersebut mempunyai tempoh pajakan 99 tahun tamat pada Novermber 2112.

Menurut Naim, cadangan penjualan tanah pada harga RM340 juta itu adalah di dalam bentuk tunai, mewakili diskaun sebanyak RM60 juta atau 15% daripada nilai pasaran RM400 juta.

"Nilai keseluruhan RM340 juta adalah adil dan munasabah memandangkan tanah bersaiz sedemikian sangat terhad di pasaran, mengambil kira lokasi dan nilai pasarannya.

“Malah dengan diskaun 15% daripada nilai pasaran, dengan anggaran perolehan daripada penjualan RM115.81 juta ia masih mewakili pulangan bersih yang munasabah iaitu 7% setahun kepada pelaburan syarikat terhadap tanah berkenaan,’’ kata Naim.

"Sementara terdapat pembeli berpotensi lain yang berminat mengambil alih sebahagian tanah, keputusan dicapai untuk memilih SEDC, sebuah agensi kerajaan negeri, yang akan membolehkan kerajaan memacu pembangunan hab petrokimia di rantau ini.

"Dan seterusnya, melonjak dan meningkatkan ekonomi negeri serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,’’ kata Naim.

 

LNG
Pemandangan dari udara kawasan perindustrian petrokimia di Bintulu, Sarawak.


Menurut Naim, penjualan itu juga memberikan modal kerja bagi operasi sedia ada dan masa akan datang untuk kumpulan, terutama bagi rancangannya untuk membangunkan 2,500 rumah pintar dan mampu milik di dalam tempoh lima tahun ini.

Hasil daripada penjualan tanah ini juga akan diguna oleh Naim untuk menjelaskan hutang kumpulan, katanya.

Di samping itu, sebahagian daripada hasil jualan juga membolehkan syarikat membuat pembayaran dividen sebagai ganjaran kepada pemegang saham,’’ menurut Naim. – DagangNews.com