Nanta Linggi: KPDNHEP laksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia 7 hingga 31 Disember 2021 | DagangNews Skip to main content

Nanta Linggi: KPDNHEP laksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia 7 hingga 31 Disember 2021

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (memegang kobis) bersama Alexander Nanta Linggi (kiri) semasa majlis pelancaran Program Jualan Keluarga Malaysia KPDNHEP di Kuala Lumpur, 2 Disember 2021.

 

 

PUTRAJAYA 3 Dis – Sebagai Kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kenaikan harga barang pada masa kini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini, di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran.

 

Skim ini akan berkuatkuasa pada 7 Disember 2021 hingga 31 Disember 2021 yang akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti berikut:

(1) Ayam hidup

(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)

(4) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)

(5) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)

(6) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)

(7) Kacang panjang

(8) Cili merah

(9) Tomato

(10) Sawi hijau

(11) Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)

(12) Timun

 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, diharapkan langkah ini akan berjalan dengan lancar dan membantu menstabilkan harga barang di pasaran.

 

Beliau berkata, pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu ayam dan telur akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit. Manakala bagi sayur-sayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit.

 

PM

‘’Senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.

 

‘’Semua pihak di seluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran akan tindakan tegas di atas kegagalan mematuhi Skim ini dan juga bagi barang-barang keperluan pengguna yang lain,’’ kata beliau. – DagangNews.com